Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa penjualan aset strategik negara adalah disebabkan salah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Najib berkata, kerajaan PH terpaksa menjual aset negara disebabkan pengurangan hasil kerajaan ekoran beberapa tindakan kerajaan.

“Masalah kejatuhan hasil negara negara disebabkan dua perkara, satu kerana anggaran harga petrol yang terlalu tinggi.

“Kedua kesilapan mereka membatalkan GST ganti SST mengakibatkan kelompongan lebih kurang RM20 bilion hingga RM24 bilion setahun, ini tak termasuk pulangan balik bayaran GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Justeru itu, Najib berkata, langkah tersebut memberi kesan kepada hasil perolehan negara sehingga kerajaan terpaksa menjual aset.

“Ini bukan kerana kerajaan BN, kalau kerajaan BN memerintah saya beri jaminan kita tak pilih langkah jual aset yang strategik, macam kita ada rumah banglo kita boleh kutip sewa tiba-tiba kita jual esok nak makan apa? Esok anak cucu kita nak makan apa?” katanya lagi.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, BN telah menjual lebih RM4 bilion tanah milik awam dalam tempoh tujuh tahun.

Malah Guan Eng turut berkata, PH langsung tidak berbuat demikian sejak mengambil alih pada Mei tahun lalu. -MalaysiaGazette