Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Seminar Pembinaan Negara Bangsa di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) akan berusaha menjadi sebuah kerajaan yang baik dan menepati kehendak rakyat dengan menerapkan ciri-ciri pemerintahan dituntut Islam.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara janji yang akan ditunaikan kerajaan sepanjang tempoh memerintah ialah melaksanakan gaji minimum.

Bagaimanapun katanya, PH masih tidak dapat menunaikannya berikutan keadaan ekonomi yang teruk ketika ini.

“Berilah masa kepada kerajaan PH untuk memulihkan ekonomi. Jika semuanya berjalan lancar, beberapa janji kita kepada rakyat akan kita tunaikan, terutama gaji minimum.

“Sekarang ini kita sedang bekerja kuat untuk menstabilkan ekonomi negara, dan kita tahun walaupun gaji minimum RM1,500 dilaksanakan, tetapi yang tinggal di bandar dan ibu kota, jumlah itu juga tidak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog dengan peserta Seminar Pembinaan Negara Bangsa di sebuah hotel di sini, mala mini.

Seminar sehari itu ditutup Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menjawab soalan peserta mengenai kelantangan pemimpin dari sebuah parti Islam yang memetik ayat 28 surah Ali Imran berhubung larangan memilih bukan Islam menjadi teman dan pemimpin.

Katanya, mereka melarang, tetapi pada masa sama pemimpin parti itu (merujuk kepada Pas) sendiri berkawan dan menerima bukan Islam sebagai pemimpin.

“Orang yang baca ayat itu sendiri pernah sokong bukan Islam. Jadi, mereka hendak pakai ayat mana? Apa jadi dengan ayat yang dia baca itu.

“Kita dari PH akan melakukan pemerintahan yang adil kepada semua kaum dalam negara ini, baik Melayu, Islam, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya.

“Zaman Nabi Muhammad dahulu pun, Baginda menghormati mayat orang kafir ketika dibawa di hadapannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah musuh politiknya berhubung berlaku pencabulan Perlembagaan Negara di bawah pemerintah PH.

Jelas beliau, perkara itu tidak berlaku sama sekali, malah PH telah memberitahu kepada bukan Melayu bahawa kerajaan itu telah mendukung perlembagaan dengan mengekalkan prinsip asas seperti Bahas Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Islam agama Persekutuan dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.