Hasnul Zulkarnain Abd Munaim
Hasnul Zulkarnain Abd Munaim

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk Charles Santiago perlu menghormati polis menahan beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, penahanan tujuh suspek, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, seorang daripadanya anggota Exco Kerajaan Melaka, tertakluk kepada bidang kuasa polis.

Ujarnya, pandangan Ahli Parlimen Klang yang mendakwa tindakan LTTE mempunyai persamaan dengan pejuang Palestin tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

“Beliau seharusnya memahami apa yang berlaku di Palestin berbeza dengan Sri Lanka yang melibatkan pemberontak LTTE.

“Di Palestin, rakyatnya memperjuangkan hak kedaulatan tanah air mereka yang dirampas secara haram oleh Israel dan bertindak mempertahankan diri dari serangan ketenteraan rejim zionis.

“Malah, wilayah Gaza yang dimiliki Palestin turut menjadi sasaran Israel dan serangan ketenteraan turut dilakukan terhadap warga Palestin di sana,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau menyatakan, ini berbeza dengan keadaan di Sri Lanka, LTTE melakukan aktiviti pemberontakan dan meminta wilayah autonomi kerana tidak bersetuju dengan dasar pemerintah kerajaan itu.

Kata Hasnul Zulkarnain, kumpulan LTTE telah disenaraikan sebagai pengganas di Malaysia sejak Februari 2014 lagi.

“Adalah lebih tepat sekiranya beliau menyamakan kumpulan LTTE ini dengan kumpulan Daesh atau ISIS yang turut disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di negara ini.

“Sekiranya beliau yakin dengan dakwaannya kumpulan itu tidak lagi wujud, tidak ada sebab untuk beliau bimbang mereka yang ditahan ini bersalah,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga telah memberi jaminan kepada semua suspek untuk dibenarkan melantik peguam dan dibicarakan mengikut proses perundangan.

Justeru, kata beliau, adalah lebih baik sekiranya Charles Santiago menyerahkan kes itu kepada polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada mereka yang ditahan bersalah atau sebaliknya. – MalaysiaGazette