KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan memperuntukan sebanyak RM297 bilion atau 18.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Belanjawan 2020.

Daripada jumlah itu sebanyak RM241 bilion atau 81.1% untuk perbelanjaan operasi manakala RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, daripada jumlah ini, 37.9% diperuntukkan untuk program dan projek di bawah sektor sosial diikuti ekonomi (16.2%), keselamatan (11.3%) dan pentadbiran am (7.5%) manakala baki 27.1% merupakan perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Tiga kementerian pula menerima peruntukan tertinggi merangkumi 44.6% daripada jumlah peruntukan, iaitu Kementerian Pendidikan RM64.1 bilion, Kementerian Kewangan RM37.8 bilion dan Kementerian Kesihatan RM30.6 bilion.

Kerajaan juga akan memberi suntikan tambahan sebanyak 0.2% daripada KDNK melalui perbelanjaan pembangunan untuk pelaksanaan projek dengan kesan berganda tinggi dan strategik seperti pembinaan landasan kereta api dan jalan raya, menaik taraf sekolah, klinik dan loji rawatan air serta infrastruktur jalur lebar di pinggir bandar.

Perbelanjaan operasi pula dianggar berjumlah RM241 bilion atau 14.9% daripada KDNK pada tahun 2020, meningkat 7% berbanding RM225.3 bilion pada tahun ini tanpa mengambil kira peruntukan tunggakan bayaran balik cukai secara one-off sebanyak RM37 bilion.

Sebahagian besar perbelanjaan operasi disalurkan untuk emolumen yang mencakupi 5.1% daripada KDNK, diikuti perkhidmatan dan bekalan 2.4%, bayaran khidmat hutang 2.2%, bayaran persaraan 1.7% serta subsidi dan bantuan sosial 1.5%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast