Latheefa Koya

KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan fasa ketiga kutipan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada penerima-penerimanya.

Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya berkata, menerusi fasa ketiga kutipan semula dana itu melibatkan amaun berjumlah RM500,000 dan ke bawah.

“Kita akan pergi kepada fasa ketiga mengutip semula wang 1MDB daripada penerimanya (nilai RM500,000 kebawah).

“Fasa pertama sebelum ini menyaksikan perlucutan hakkan sivil yang difailkan ke atas penerima dana berkenaan yang mana wang itu masih dalam akaun mereka yang telah dibekukan kemudian oleh kami.

“Fasa keduanya adalah wang diterima, yang mana kami meminta penerima menjelaskan semula bayaran itu. Ini bermakna kami akan pergi kepada penerima amaun besar dahulu,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Menembak SPRM bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang hari ini.

Ditanya mengenai status siasatan terhdap Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas pemimpin Puteri UMNO yang didakwa menerima dana 1MDB tetapi tidak tersenarai dalam notis terbaharu tuntutan kompaun daripada penerimanya, Latheefa mengulangi kenyataannya bahawa senarai awal yang dikeluarkan SPRM adalah bukan senarai penuh dan tidak muktamad.

“Ada beratus orang terima dana 1MDB tapi kami menyenarai pendek penerima jumlah besar iaitu RM500,000 ke atas yang mana melibatkan 80 nama individu dan entiti.

“Ia bukan isu selektif (nama Mas Ermiyati Samsuddin tertinggal) atau kepentingan politik tapi senarai itu adalah berdasarkan pemotongan amaun dan kami pergi kepada amaun besar dulu,” tegasnya lagi.

Ditanya mengenai status siasatan terhadap Nazir Razak yang sebelum ini menegaskan beliau akan tampil ke SPRM bagi membantu siasatan dana 1MDB, Latheefa bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang butiran terperinci mengenainya.

“Saya rasa berkenaan kes-kes masih berjalan, tidak boleh bagi apa-apa maklumat tetapi buat masa ini apa yang kami telah lakukan ialah menyerahkan kompaun notis kepada entiti dan wakil entiti dengan individu.

“Kita sudah bagi tempoh dua minggu kepada dia daripada tarikh serah notis dan terpulang kepada mereka sama ada nak buat rayuan atau sama ada memohon masa yang lebih untuk membuat bayaran balik.

“Ya…kita akan tunggu dia (Nazir Razak) untuk dia berkongsi maklumat tapi kita tak boleh menyatakan butiran lanjut mengenainya buat masa sekarang dan terpulang kepada entiti-entiti berkenaan bagaimana mereka selesaikan bayaran itu kepada SPRM, sama ada bayar segera atau tunggu sehingga hujung tempoh masa dua minggu,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette