Sebahagian mahasiswa dihalang anggota polis ketika cuba memasuki Parlimen semasa mengadakan demonstrasi berhubung yuran MJIIT semasa pembentangan Belanjawan 2019 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia memaklumkan bahawa pihaknya telah ambil maklum tentang isu yuran bagi pengajian Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan ia sedang diperhalusi oleh semua pihak.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM telah bertemu dengan para pelajar untuk memberikan penjelasan berhubung kos sebenar untuk mengikuti pengajian tanpa subsidi di MJIIT adalah RM 79,868 untuk 4 tahun atau 8 semester.

Namun, pihak Universiti telah bersetuju untuk menanggung 49% daripada yuran berkenaan, sekali gus mengurangkan yuran yang dikenakan kepada pelajar MJIIT kepada RM 40,000 sepanjang tempoh tersebut.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM berkata, yuran RM5000 adalah merupakan yuran asal sejak MJIIT mula beroperasi pada tahun
2011, oleh itu yuran RM5000 tersebut bukan kenaikan.

UTM mengenakan yuran lebih rendah dalam 5 tahun pertama iaitu sebelum sesi 2016 sebagai strategi memperkenalkan
MJIIT kepada masyarakat.

Pada tahun 2016, tibalah masanya UTM mengambil keputusan
mengenakan yuran asal iaitu RM5,000 setiap semester bagi memastikan kelestarian kewangan MJIIT dalam menguruskan pembelajaran dan pengajaran pelajar tidak terjejas.

Universiti itu sedang dalam usaha memberikan peluang pendidikan berkualiti kepada semua golongan dan turut menawarkan kemudahan kepada para pelajar dari golongan berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,860 sebulan (B40) dengan menyediakan Skim B40.

Melalui skim ini, pelajar B40 diberi pengurangan sebanyak 80% dari kadar yuran normal MJIIT.

“Sebagai usaha memastikan ketelusan di dalam pengurusan yuran, pihak pengurusan MJIIT telah bertemu dengan seramai lebih kurang 200 ibu bapa para pelajar baharu untuk berkongsi maklumat yuran sewaktu sesi pendaftaran pelajar pada 3 September 2019 lalu dan tiada sebarang isu yuran dibangkitkan oleh para ibu bapa.

“MJIIT voices juga telah diberi kebebasan oleh UTM untuk berhubung terus dengan pelajar baharu sebelum dan selepas
tarikh pendaftaran, dan telah mengadakan sesi pertemuan dengan ibubapa para pelajar tanpa sebarang halangan,” kata kenyataan tersebut.

Tambah UTM, merujuk kepada tuntutan pemansuhan yuran MJIIT dan pemulangan bayaran yuran pula, unit undang-undang UTM dan Kementerian Pendidikan Malaysia sedang membuat penelitian.

Bagi meringankan beban pelajar, UTM telah bersedia membantu dan membuka ruang kepada pelajar dalam penukaran
kursus atau fakulti walaubagaimanapun sehingga kini, hanya terdapat dua orang sahaja pelajar yang membuat permohonan dan mereka bukan dalam kalangan pelajar yang membuat demonstrasi.

UTM di bawah kepimpinan Naib Canselor telah melakukan yang terbaik bagi memuaskan hati semua pihak terutamanya pelajar sebagai pemegang taruh utama universiti.

Malah, pelajar dipastikan selamat pulang ke kampus selesai perhimpunan dengan disediakan kenderaan universiti kepada mereka.

Naib Canselor merupakan Eksekutif bagi sesebuah universiti dan di UTM, Naib Canselornya bertindak sebagai bapa kepada semua pelajar dan akan terus memberikan mereka kebebasan untuk menyuarakan pendapat.

“UTM sentiasa mengambil langkah untuk memberikan kebebasan bersuara kepada pelajar. Walau bagaimanapun, UTM berhak mengambil tindakan yang sewajarnya jika perhimpunan sebegini menggugat ketenteraman awam atau mencalar imej universiti,” ujar kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette