KUALA LUMPUR – Penahanan beberapa pemimpin sebuah parti politik serta individu kerana didakwa terbabit menyokong pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sewajarnya diperhalusi semula bagi memastikan ia dilakukan secara adil dan saksama.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, penahanan dua wakil rakyat DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran dan ADUN Gadek, G. Saminathan perlu diperhalusi secara wajar bagi memastikan tuduhan dibuat bukan secara ‘membabi buta.’
LTTE jelas beliau, hanyalah satu pertubuhan yang ditubuhkan komuniti Tamil di Sri Lanka bagi melindungi etnik minoriti berkenaan dari menjadi subjek pembunuhan, penderaan seksual dan pemerkosaan ketika disumbat di dalam kem tahanan.
Malah lebih tragis apabila dianggarkan lebih 200,000 lagi penduduk dari golongan terbabit meninggal dunia akibat kebuluran.
“Ia dianggap sebagai satu genosid dan tragedi kemanusiaan yang amat hebat serta mengundang simpati masyarakat Tamil lain dari seluruh dunia, malah ramai yang mengadakan pelbagai upacara untuk memperingati serta mengenang semua mangsa.
“Tindakan bersimpati ini kemudiannya dilihat sebagai menyokong LTTE sedangkan menunjukkan rasa simpati tidak bermaksud mereka menyokong atau membiayai perjuangan pengganas kerana mereka hanya menyokong perjuangan untuk mengakhiri kesengsaraan ditanggung masyarakat Tamil di Sri Lanka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Vigneswaran menyatakan demikian ketika mengulas penahanan Gunasekaran dan Saminathan yang didakwa terbabit menaja pergerakan serta aktiviti LTTE, 10 Oktober lalu.
Kedua-dua ADUN berkenaan adalah antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki memiliki pembabitan dengan LTTE, satu gerakan pemisah yang sudah berkubur ketika perang saudara pada 2009, apabila sebahagian besar pemimpin pertubuhan itu maut atau dipenjara pihak berkuasa.
Malah semalam dua lagi pemimpin dari DAP telah di tahan di Melaka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) malam tadi.
Kedua-dua individu itu ialah Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.
Mengulas lanjut Vigneswaran yang juga Yang DiPertua Dewan Negara, simpati masyarakat Tamil negara terhadap penderitaan mangsa perang saudara di Sri Lanka menyamai simpati diberikan penduduk Islam Malaysia terhadap konflik yang berlaku di Syria, Palestin atau wilayah Rakhine di Myanmar.
“Saya hendak tanya anda semua, apakah kita boleh ditahan hanya kerana bersimpati? Penahanan ini mengejutkan komuniti India seluruh negara kerana mahkamah tertinggi Kesatuan Eropah (EU) sendiri sudah mengeluarkan LTTE dari senarai hitam pada 2017.
“Ia bertepatan dengan pendirian EU yang melihat bahawa adalah mustahil untuk LTTE melancarkan sebarang serangan lagi selepas tewas sepenuhnya pada 2009,” ujarnya.
Vigneswaran berkata, pihak polis harus menyiasat perkara ini dengan terperinci, telus dan saksama dan jika terbukti individu ditahan tidak bersalah, mereka harus dibebaskan pada kadar segera.
Tegasnya, SOSMA hanya perlu digunakan jika ada keperluan terdesak sahaja dan bukan di gunakan sewenang-wenangnya.
“Perlu ada huraian yang jelas dalam hal ini dari pihak polis. Pada tahap apa atau peringkat bagaimana menunjukkan simpati ini boleh dianggap sebagai menyokong?
“Apa elemen yang menggariskan simpati sebagai tindakan menyokong pengganas? Ini saya kira perlu dijelaskan dengan berhemah oleh pihak polis supaya kita semua tidak terkeliru, khususnya generasi muda,” ujarnya lagi.
Beliau menarik perhatian, isu yang seakan sama pernah dibawa ke parlimen ketika bergelar senator iaitu mewujudkan kesedaran dalam kalangan belia Islam mengenai bahaya pergerakan ISIS sekali gus meletakkan pemisah – antara menyokong dan melakukan jenayah.
“Ia mendorong kerajaan mengumumkan secara terbuka kepada orang ramai, senarai pertubuhan yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di peringkat antarabangsa bagi mengekang pembabitan remaja negara ini.
“Di Malaysia ketika ini, ramai penduduk menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi ke atas pejuang pemisah Kashmir. Apakah mereka juga akan ditahan kerana bersimpati dan dianggap menyokong pertubuhan yang digelar pengganas oleh India?
“Jika itu kebenarannya, maka semua penduduk Tamil Malaysia juga perlu ditahan kerana bersimpati dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka,” tegasnya. –MalaysiaGazette
Adakah bersimpati dgn rakyat Sri Lanka yang beragamabIslam yg sedang solat dimasjid yg telah dibunuh oleh pengganas LTTE?
Adakah kamu but a dan pekak!!