M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran menafikan sekeras-kerasnya dirinya terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Malah, Kula juga menolak khabar angin dengan tersebarnya sekeping gambar seorang lelaki dipercayai ada kaitan dengan LTTE yang tersebar secara meluas dalam laman sosial ketika ini.

Kula yang juga Menteri Sumber Manusia menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya segera menjalankan siasatan berhubung perkara ini dan membawa ‘dalang’ sebenar ke muka keadilan agar kebenaran dapat ditegakkan.

“Saya menafikan semua dakwaan ini. Sesiapa yang menyebar penipuan seperti ini terutama mengaitkannya dengan keganasan ini ditangkap dan disiasat.

“Berita-berita palsu dan khabar angin seperti ini juga mampu menyemarakkan rasa tidak harmoni dalam kalangan kaum pada masa yang sama.

“Parti saya, DAP telah dipalitkan dengan tuduhan-tuduhan seperti apatah lagi ketika menjelang musim Pilihan Raya Kecil (PRK) ,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu hari ini, ketika diasak pemberita tentang perkara ini, kata Kula, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Saya ada banyak gambar. Jangan percaya gambar dari WhatsApp atau internet, orang boleh membuat pelbagai tuduhan. Mereka boleh kata apa sahaja.

“Ia tidak adil untuk bertanya kepada saya, adakah saya terlibat? Kerana orang yang buat tuduhan itu pun saya tidak kenal. Kita tidak tahu, biar polis jalankan siasatan,” ujarnya.

Pagi tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis mempunyai bukti sebelum melakukan penahanan terhadap individu-individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan pihaknya bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya dan ia tiada kaitan dengan isu politik, kaum mahupun agama.

Kelmarin, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas dilancarkan dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Walaupun semalam Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa tidak ada lagi pemimpin parti itu akan ditahan, namun sebentar tadi  dua lagi individu yang juga ahli DAP di Melaka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew, mengesahkan kedua-dua individu itu ialah Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, mengesahkan kedua-dua individu itu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.–MalaysiaGazette