JOHOR BAHRU – Gara-gara tersilap tekan pedal minyak ketika mengundurkan kereta dipandunya, seorang warga emas melanggar dua kereta serta sebuah kedai makan di Taman Daya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, kejadian tersebut tular dan pihaknya mengesan insiden berkenaan pada pukul 2.20 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lelaki tempatan berusia 69 tahun itu selesai bersarapan di sebuah premis kedai makan sebelum bergerak pulang ke kediamannya di Jalan Daya.
“Ketika cuba mengundurkan Toyota Camry, warga emas utu dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan bergerak ke belakang sebelum melanggar sebuah Proton Saga berwarna putih yang diletakkan di bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, selepas berlaku pelanggaran, lelaki berkenaa menjadi cemas lalu menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan bergerak secara mengundur dan melanggar sebuah lagi Toyota Camry berwarna putih di hadapan premis kedai makan.
Tambahnya, kenderaan berkenaan kemudian terus bergerak sebelum memasuki premis kedai makan terbabit.
Katanya, akibat kejadian itu, dua kenderaan lain serta premis kedai makan berkenaan mengalami kerosakan.
“Punca kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu ketika menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan melanggar kenderaan lain serta premis kedai makan,” katanya.
Menurut Azrul Hisham, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette
















