Mayat Ng Chee Choy, 75 ditemukan orang awam dalam keadaan terlungkup dalam longkang di Batu14, Gambang, Jalan Kuantan-Maran petang semalam.

KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas motosikal dinaikinya terbabas ke dalam longkang di Batu 14, Jalan Kuantan – Maran, Gambang, di sini petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, mayat Ng Chee Choy, 75 ditemukan orang awam di lokasi terbabit kira-kira jam 6.30 petang.

“Polis terima laporan daripada orang awam yang melintas jalan ke DIY di seberang jalan. Katanya dia menemukan sebujur mayat di dalam longkang disyaki terbabit kemalangan jalan raya.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terlungkup lengkap berpakaian dan memakai topi keledar dan didapati motosikal berada tidak jauh dari mayatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Gambang disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

Akibat kemalangan itu, katanya mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokas kejadian.

Ashari berkata, hasil pemeriksaan awal di lokasi dan terhadap mayat turut mendapati tiada unsur-unsur jenayah yang dikesan.

“Selain itu, Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Gambang juga mengesahkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira lima hinga enam jam daripada tempoh masa kemalangan jalan raya itu berlaku,” katanya lagi.

Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau menyeru mana-mana pihak atau saksi kejadian agar tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here