KUALA LUMPUR – Empat bulan memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya disifatkan memalukan ribuan kakitangan agensi itu dan berbohong kepada rakyat apabila berkata jumlah kompaun adalah berdasarkan dana yang diterima untuk kegunaan parti.
Namun apa yang berlaku menurut Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, kompaun yang dikenakan mencecah sehingga RM2.5 juta meskipun ada ahli parti yang menerima RM50,000.
“Memalukan SPRM tindakan kenyataan Ketua Pesuruhjaya yang tak profesonal, tak bebas, tak telus seperti cogan kata agensi itu.
“Saya harap pemberita pulangkan balik soalan kepada Cik Latheefa Koya kenapa dia bohong kepada rakyat dengan mengatakan inilah peringkat pertama bagi golongan yang menerima RM500,000 dan lebih.
“Dan inilah saya rasa sebenarnya Ketua Pesruuhjaya SPRM mencemar nama baik SPRM sebagai badan kuatkuasa,” katanya ketika sidang media di Menara Dato’ Onn.
“Latheefa Koya dengan itu dianggap Shahrir sebagai memalukan SPRM yang seolah-olah berani bertindak sewenangnya selepas mengetuai agensi tersebut.
“Ini jump the gun, Ketua Pesuruhjaya SPRM baru dapat pistol agaknya,” katanya yang tidak akan mengalah dan bertegas untuk membawa isu tuntutan kompaun itu ke mahkamah mengikuti prosedur yang sepatutnya.
Beliau adalah antara 42 individu dan entiti yang tidak berpuas hati hari ini terhadap tindakan SPRM mengeluarkan kompaun kepada penerima dana 1MDB.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Jelasnya kompaun berkenaan bertujuan untuk mendenda mengikut jumlah wang diterima atau sehingga 2.5 kali daripada jumlah terbabit. – MalaysiaGazette