Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media berkenaan Belanjawan 2020 pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Peruntukan besar yang diterima Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Islam juga adalah untuk menangani gejala ekstremisme yang berpotensi menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, dengan bajet itu juga kementeriannya akan merangka pelbagai program untuk memastikan keamanan menjadi teras utama kepada kewujudan pelbagai kaum dan agama dalam negara ini.

Justeru, katanya, beliau memperkenalkan enam nilai utama yang akan diperjuangkan dalam pentadbiran Islam, iaitu RAHMAH.

Kata beliau, RAHMAH iaitu Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormati menghormati dapat menyumbang dalam konteks kemakmuran, aman serta damai.

“Sebab itu kerajaan melihat RAHMAH sangat penting dan kerana itu kami ingin menyumbang dalam konteks kemakmuran itu kepada satu suasana yang rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Kita ada enam nilai yang kita perjuangkan dalam pentadbiran Islam seperti terkandung dalam perkataan RAHMAH itu sendiri.

“Jadi, pentadbiran Islam dalam konteks ini akan menyumbang menerusi bajet yang ada untuk memastikan keamanan itu menjadi teras utama kepada kewujudan pelbagai kaum dan agama dalam negara ini,” katanya pada sidang media khas di Bilik Whip Parlimen di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mujahid, program RAHMAN itu yang tertegak atas enam nilai besar akan diguna untuk tujuan mempromosi, penerangan dan penjelasan melalui program bagi memantapkan Malaysia Baharu.

Ujar beliau, dengan teras itu juga ia akan mewujudkan keamanan dan sikap hormati menghormati yang dilaksanakan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) untuk dipacu dengan berkesan.

Beliau menjelaskan, RAHMAH juga akan menyumbang kepada hubungan antara kaum dalam negara secara khusus melalui platform Rahmatan Lil Alamin, yang berkehendakkan rakyat pelbagai kaum hidup saling hormati menghormati anntara satu sama lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast