Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Sejumlah kira-kira RM1.3 juta yang diperuntukan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama adalah untuk keseluruhan kos pentadbiran Islam bawah Rahmatan Lil Alamin.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, peruntukan itu termasuk keperluan guru Kelas Fardu Ain (Kafa) yang dinaikkan elaunnya RM100 dan bantuan ‘one-off’ kepada imam, bilal, siak dan sebagainya.

Manakala RM10 juga katanya, dikhususkan untuk pelaksanaan program khas Rahmatan Lil Alamin yang hari ini menjadi dasar pentadbiran Islam Malaysia Baharu.

“Sungguhpun begitu, ada sektor tertentu di bawah pentadbiran Islam, tetapi turut dikongsikan dengan kementerian lain, iaitu tahfiz.

“Sektor tahfiz ini turut dikongsi oleh Kementerian Pendidikan, selain bawah kementerian saya diletakkan bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya pada wawancara khas bersama media di Bilik Whip Parlimen di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, mengikut pecahan tahfiz dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan masing-masing diperuntukan RM50 juta, diikuti masing-masing RM25 juta untuk sekolah pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Kata Dr. Mujahid, jika dilihat secara umum dalam konteks keperluan pentadbiran dan pendidikan Islam, sudah tentu ianya melebihi RM1.3 bilion.

“Ini tidak termasuk RM10 juta yang diperuntukan untuk Pengembangan Halal. Walaupun tidak termasuk bawah pentadbiran saya, tetapi dalam konteks utama Jakim sebagai pihak yang mengeluarkan pensijilan.

“Sudah tentu kita menganggap ianya juga sebagai satu peruntukan besar terhadap keperluan halal.

“Pengembangan Halal ini diletakkan bawah satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata, ia mempunyai kepentingan dari sudut hendak menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kewangan Islam atau hub kewangan Islam yang secara tidak langsung turut melibatkan jabatannya.

“Ia juga ada kena mengena dengan ekosistem yang melengkapkan keperluan seperti halal dan interprenuer yang di bawah kami pun ada juga yang kami lahirkan iaitu Asnaf Prenuer.

“Jika kita melihatnya secara rentas dari segi kepentingan umat Islam dan juga untuk perkembangan ekonomi Islam yang akan memberi sumbangan besar, pasaran halal ini menyumbangkan kepada hampir RM3 trilion.

“Kerajaan mahu menjadikannya satu peneraju utama dan Jakim akan terlibat secara langsung dengan pensijilan dan sebagainya,” kata beliau.

Katanya, secara menyeluruh, beliau melihat ia satu yang positif dan sekali gus melonjakkan kepentingan ekonomi dan juga Islam dalam konteks sebagai agama persekutuan. – MalaysiaGazette