Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kiri) hadir ke mahkamah bagi keputusan selepas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini  memerintahkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membela diri atas  dakwaan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, wujud prima facie terhadap Tengku Adnan menerima wang daripada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank.

Hakim turut menolak kaitan bahawa RM2 juta itu digunakan untuk UMNO oleh pihak pembelaan dalam pilihan raya kerana ia tidak mempunyai bukti kukuh.

“Pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa RM2 juta untuk kegunaan UMNO. Meskipun mahkamah menerima resit yang dikeluarkan oleh Chai namun mahkamah menolaknya  kerana ia membuktikan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (syarikat yang terdahulu dikatakan mempunyai kepentingan terhada Tengku Adnan) membuat pembayaran kepada UMNO.

“Namun cek yang diterima tertuduh tidak boleh mengalihkan perhatian saya, kerana ianya diterima tertuduh sebagai penjawat awam dan kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan masa itu,” katanya ketika membaca penghakimannya hari ini.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang mana Tengku Adnan mempunyai kepentingan, Aset Kayamas mempunyai perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Pada 23 Januari lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah  selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan empat hari iaitu 10,17, 20, 21 Januari 2020 sebagai tarikh pembelaan diri Ku Nan.

Pihak pembelaannya juga dijangka akan membawa 5 orang saksi ketika prosiding kelak. – MalaysiaGazette