KUALA LUMPUR – Defisit fiskal Malaysia yang diunjurkan berada pada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 sejajar sasaran, mengambil kira cabaran persekitaran luaran dan pelbagai halangan untuk meningkatkan hasil, demikian menurut S&P Global Ratings (S&P).

“Kami akan terus memantau rapat kemajuan konsolidasi fiskal di Malaysia khususnya dalam konteks membendung dan mengurangkan nisbah hutang kerajaan dan berikutan defisit lebih tinggi pada 2018 dan 2019,” kata penganalisis S&P, Andrew Wood, dalam satu kenyataan.

Pada Julai, S&P mengesahkan semula penarafan kredit Malaysia pada A- dengan unjuran stabil, manakala Fitch Ratings juga mengesahkan semula penarafan kredit berdaulat pada A- dengan unjuran stabil.

Kerajaan berada di landasan untuk mencapai sasaran defisit pada 3.4 peratus daripada KDNK pada tahun ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu, sasaran defisit fiskal itu disemak semula kepada 3.2 peratus daripada KDNK pada 2020 berbanding 3.0 peratus sebelum ini, namun, ia kekal di landasan untuk mencapai 2.8 peratus dalam jangka sederhana.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hari ini mengulangi pendirian bahawa kerajaan berada di landasan yang tepat untuk meletakkan semula negara di landasan fiskal dan memulihkan ekonomi seperti digariskan dalam pelan hala tuju kewangan tiga tahun, meskipun wujud ketidaktentuan berpanjangan berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang telah menyebabkan rantaian bekalan global terorientasi secara kekal. – MalaysiaGazette