Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada media selepas Majlis Simposium Perakaunan 2017 anjuran Yayasan Peneraju di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng sebenarnya mengakui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu sistem percukaian yang cukup baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sekarang.

“Kalau anda tanya Mahathir, Lim Guan Eng secara peribadi, saya boleh beri jaminan mereka akan kata GST adalah sistem yang bagus. Itu sahaja.

“Kalau dia kata (GST) bukan sistem yang baik, sesuatu tidak kena. Bukan sahaja sesuatu tidak kena kepada mereka berdua, tetapi kepada 170 negara yang melaksanakan GST,” kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam program Hujah yang dikendalikan oleh Penerangan UMNO.

Bekas Menteri Kewangan Kedua itu menyifatkan pelaksanaan SST oleh kerajaan sekarag dibuat dalam keadaan keterpaksaan selepas PH gagal melaksanakan janji-janji manifesto yang lain.

“Dalam 10 janji, kalau semua 10 (janji) tidak tunai, jadi berat. Untuk itu buat ini (SST). SST nampak sedap nak buat, macam hero,” kata bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Beliau yang pernah terlibat secara langsung dalam merangka bajet negara sebelum ini turut mengkritik cara kerajaan PH menukar sistem percukaian itu walaupun ia baik untuk rakyat dan negara.

Bagaimanapun, secara sinikal, Johari berkata, tindak-tanduk PH itu perlu diampunkan kerana PH tidak mempunyai pengalaman memerintah.

Berbeza dahulu, katanya, PH hanya tahu berjanji sahaja.

“Bagaimanapun, kita kena ampunkan mereka sebab tidak pernah tadbir kerajaan. Ya lah, orang tiba-tiba datang, hendak jadi kerajaan. Sebelum ini dok berjanji hendak kurang hutang dan sebagainya. Apabila diberi peluang baru mereka tahu, mereka tak reti, sebab pengalaman tidak ada,” katanya.

Sambil memberi analogi dengan menyamakan perubahan pentadbiran kerajaan BN kepada PH umpama pengambilalihan sebuah syarikat, beliau berkata, kebiasaannya orang yang mengambil alih tidak akan bercakap tentang kelemahan pemilik syarikat sebelumnya, tetapi mengenai masa depan syarikat.

“Benda mana yang tidak elok, tukarlah kasi elok. Benda yang elok, jalankanlah. Benda elok kepada rakyat dalam jangka panjang teruskan.

“Jangan uruskan ekonomi lebih kepada politik, ini masalah. Kalau anda urus lebih kepada politik, akhirnya semua akan mati – sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Anda sudah dapat syarikat, disebabkan orang lain tak baguslah anda dapat. Kalau bagus macam syarikat Nestle, anda boleh ambil? Syarikat tak bagus anda ambil. Kalau ada benda-benda tak bagus, perbetulkanlah tapi kalau 70%-80% benda bagus tetapi dulu anda cakap macam-macam, tapi apabila sudah tadbir, anda nampak bagus, namun hendak tukar juga untuk tunjuk pada orang, tidak bolehlah.

“Begitulah juga kita melihat dan menguruskan negara,” jelasnya panjang lebar.

Johari mengingatkan kerajaan agar jangan memerintah dan menguruskan negara seperti mana mengendalikan parti politik.

Ini kerana, dalam parti politik, pemimpin (parti) membuat keputusan setiap lima tahun untuk menguasai kerajaan tetapi apabila sudah mendapat mandat, semuanya perlu bekerja untuk menjadikan sesebuah negara lebih baik.

“Kalau kita menjadi kerajaan tanpa pengalaman, lepas itu kita tukar ikut sedap, tak boleh. GST dan SST adalah contoh klasik.

“Malaysia adalah salah sebuah negara yang melaksanakan GST tanpa menyebabkan huru-hara. Kita laksanakan dengan baik, tetapi reverse (ke belakang).

“Kalau GST 6% dikatakan mahal, sebagai kerajaan boleh mengurangkan perbelanjaan modal seperti yang diuar-uarkan oleh Rafizi Ramli dulu. Kurangkanlah atau turunkan 3%. Tidak payah main politik pun, ini batalkan GST, perkenalkan SST, kononnya harga akan turun.

“Mana harga kau turun, tidak ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette