Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kanan) dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dilihat berbincang sesuatu ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOREEZA HASHIM, 15 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui sudah menjadi tanggungjawabnya untuk hadir sebarang mesyuarat yang dianjurkan oleh pimpinan parti.

Mohamed Azmin sebelum ini berkata dia ada kekangan untuk menghadiri mesyuarat PKR kerana terikat dengan program kerajaan yang dibuat di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diterajuinya.

“Mengapa perlu dipujuk, itu tanggungjawab saya. Ada pertemuan parti yang saya pergi. Ada perbincangan parti yang saya hadir. Tidak ada masalah. Kalau saya tidak ada tugas kerajaan, pastinya saya akan bersama dalam program parti.

“Kalau saya pergi lawatan ke negeri-negeri pun, selain program kerajaan saya akan bertemu dengan pimpinan parti negeri,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu ditanya samada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada memujuk beliau untuk memunculkan diri dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik yang sering tidak dihadiri oleh Azmin.

Anwar dan Mohamed Azmin hari ini dirakam mengadakan pertemuan di kafe Parlimen sambil dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Pertemuan itu dimuatnaik Anwar sambil diciap semula oleh Mohamed Azmin, tengahari tadi.

Ditanya samada pertemuan itu akan meleraikan perbalahan antara mereka, Mohamed Azmin menegaskan, mereka tidak mempunyai sebarang perbalahan.

“Ada ke pergolakan, tidak ada. Kita sebagai orang Islam dan Melayu kita mesti disuruh untuk melakukan muhasabah,” katanya dalam nada sinis.

Kedua-dua pemimpin tertinggi PKR itu sebelum ini sering bercanggah dan bertikam lidah.

Hubungan antara Anwar dan Mohamed Azmin menjadi tegang sejak akhir tahun lalu selepas Anwar melantik pencabar yang dikalahkan oleh Mohamed Azmin ke dalam pimpinan PKR dengan alasan keperluan untuk parti untuk menjadi inklusif.

Hubungan itu semakin meruncing pada bulan Jun lalu apabila video seks didakwa mirip Mohamed Azmin dan seorang lelaki lain mula disebarkan.

Mohamed Azmin menafikan beliau adalah individu dalam video itu dan mendakwa ia adalah satu konspirasi politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Anwar pula menafikan sebarang peranan dalam video seks berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast