Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kini rakyat Kelantan tertanya-tanya, antara kerajaan negeri itu dengan Kementerian Kewangan, siapa yang bohong dan bercakap benar.

Ini berikutan berlaku perbezaan jawapan antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pembayaran royalty minyak.

Menurut Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, beliau selaku rakyat Kelantan dan pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas, turut terkejut dengan mainan politik kedua-dua pihak.

“Satu dunia ketawa atas kelucuan isu royalti minyak untuk Kelantan. Menteri Kewangan kata bayaran sudah dibuat September lalu, lebih awal dari sepatutnya pada Januari 2020.

“Sedangkan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam, Menteri Besar menyatakan kerajaan negeri belum menerima bayaran royalti minyak sebagaimana dakwaan Guan Eng,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, dalam sidang media di Parlimen kelmarin, Guan Eng menunjukkan muka selamba, muram dan sedih ketika memberi peringatan kepada Ahli Parlimen Pas jangan buat fitnah, kerana (royalti) sudah dibayar.

Kata Dr. Ibrahim, apabila membaca kenyataan Guan Eng, beliau termasuk rakyat tertanya-tanya kenapa kerajaan Kelantan membisu, tidak memaklumkan bayaran itu sudah diterima.

“Saya membuat andaian terhadap kerajaan negeri, bila tidak dapat duit, bising, tapi bila dapat duit, senyap.

“Marilah kita rakyat Kelantan sama-sama rasa sedih dan ketawa atas peristiwa pertama kali episod politik Malaysia yang wajar menerima anugerah Nobel ini,” katanya menyindir.

Beliau turut menyatakan, ada kemungkinankah Kementerian Kewangan ‘memasukkan’ bayaran itu ke akaun kerajaan Kelantan yang salah, atau kerajaan negeri menghantar nombor akaun salah kepada kementerian berkenaan.

Katanya, beliau sebelum ini pernah menyatakan rasa sedih dan kecewa dalam kenyataannya mengenai ulasan Belanjawan 2020, kerana tidak ada peruntukan atau tidak disebut oleh Menteri Kewangan mengenai bayaran royalti minyak bagi Kelantan. – MalaysiaGazette