N. Balasubramaniam

KUALA LUMPUR – Seorang daripada 12 suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pernah memohon menyertai Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Bagaimanapun, menurut Ketua DHPP, N. Balasubramaniam, lelaki itu telah menghantar surat keluar parti pada 21 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita telah melakukan semakan dan mendapati individu yang dimaksudkan itu ada memohon untuk menyertai DHPP beberapa bulan sebelum PRU14, dan (kemudian) telah menghantar surat keluar parti selepas PRU14 pada 21 Mei 2018,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal atas talian yang mendakwa, seorang ahli Pas antara 12 suspek yang ditahan polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE.

Sumber memberitahu portal berkenaan, suspek terbabit, U S Subramaniam adalah ahli DHPP, sayap parti Pas untuk orang bukan Islam. – MalaysiaGazette