Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam bentuk wang ehsan sebanyak RM15.75 juta pada 18 September lalu.

Pembayaran itu berdasarkan pengiraan 5 peratus daripada hasil petroleum dalam menentukan pembayaran tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembayaran itu dibuat dalam bentuk wang ehsan bagi mengelakkan terperangkap dalam kemelut perundangan.

Tambahnya, bayaran wang ehsan itu telah diawalkan pada bulan September berbanding tarikh yang dijadualkan pada Januari 2020.

Jelas beliau lagi, bayaran wang ehsan dan perihal petroleum dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan bukan Menteri Kewangan.

“Menteri Kewangan hanya menurut arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini sambil menyuarakan rasa kecil hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan kebencian dan memainkan sentimen dengan melontarkan fitnah kepadanya sedangkan arahan pembayaran dibuat oleh Perdana Menteri.

Beliau turut memaklumkan sebelum ini, pembayaran wang ehsan diberikan secara tahunan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sebuah entiti Kerajaan Persekutuan dengan nisbah 50:50.

Tetapi selepas peralihan kuasa, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan bayaran wang ehsan 50 peratus bukan lagi kepada Kerajaan Persekutuan tetapi terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

“Maka buat pertama kali mulai tahun ini Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bayaran wang ehsan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dengan bayaran terkini pada bulan September 2019,” ujarnya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini telah mengesahkan menerima bayaran wang ehsan sebanyak RM15.75 juta pada 18 September lalu.

Guan Eng juga mendedahkan Kerajaan Negeri Kelantan telah memohon bantuan dalam bentuk wang pendahuluan untuk memenuhi obligasi perbelanjaan operasi termasuk membayar gaji dan emolumen kakitangan kerajaan negeri.

Permohonan itu, katanya, sudah diluluskan sebanyak RM100 juta pada 14 Oktober lalu bagi membiayai perbelanjaan termasuk pembayaran gaji kakitangan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sehingga akhir tahun ini.

Ia bukan kali pertama permohonan pinjaman itu dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu kerana pada tahun lalu negeri itu memohon pendahuluan RM91.5 juta, juga untuk tujuan yang sama. – MalaysiaGazette