Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (tengah) beramah mesra dengan sebahagian peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Seminar Pelaburan ESG BIMB Investment 2019 di Ritz Carlton, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kewangan Islam kini menjadi semakin penting dan telah mengalami perkembangan yang teguh sepanjang tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kewangan itu tertanam pada prinsip keadilan, kesaksamaan dan etika yang membawa kepada kesejahteraan sosial.

Menurut beliau, ia bertujuan memberi keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi masyarakat serta menggalakkan aktiviti ekonomi yang mampan.

“Etika ini tidak hanya berlaku untuk kehidupan peribadi umat Islam tetapi juga kepada semua aspek termasuk cara mereka menjalankan perniagaan.

“Prinsip-prinsip tahap tinggi seperti pengawasan kemanusiaan di muka bumi ini, integriti dan keikhlasan menyediakan asas kerangka kerja etika perniagaan.

“Ini ditunjukkan dalam satu set norma dan nilai tingkah laku seperti kejujuran dan perdagangan yang adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pelaburan ESG BIMB Investment di sini hari ini.

Ketika ditemui pihak media, Mujahid memberitahu, Pelan Induk Kewangan Islam yang disebut dalam Belanjawan 2020 akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan.

Namun kata beliau, pihaknya akan memberi input Untuk dimasukkan dalam pelan induk itu.

Mengenai Maqasid Syariah, Mujahid berkata, ia masih dalam proses dan pelaksanaannya dijangka pada hujung tahun ini dalam memberi rahmat dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Lima prinsip Maqasid Syariah adalah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta menjadi asas kukuh dalam mentadbir urus sesebuah negara dan sifat-sifat inklusif yang terkandung dalam memastikan kesejahteraan seluruh rakyat dapat dicapai. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.