Bangunan Perdana Putra (PMO). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ bukan hadiah rasmi yang diberikan kepada Presiden China, Xi Jiang semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, komik tersebut dibawa tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul.

“Perdana Menteri tidak pernah terlibat di dalam penerbitan buku ini atau mengetahui isi kandungannya,” katanya dalam kenyataan.

Di dalam komik tersebut tertera gambar Dr, Mahathir dan keterangan yang menyatakan komik itu dihadiahkan kepada Xi semasa pertemuan dua hala pada Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa Kedua.

Menurut kenyatan itu, Perdana Menteri juga tidak pernah memberi persetujuan agar gambar beliau digunapakai untuk apa-apa tujuan atau memberi kebenaran agar komik tersebut diedarkan di sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik didakwa berunsur propaganda yang dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsdaan (SJK) di negara ini.

Katanya, berdasarkan laporan awal oleh Bahagian Keselamatan KDN, terdapat perkara yang tidak betul dalam komik itu, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik itu. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

‘Superman’ pertahan pengedaran komik Jalur dan Jalan