Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas bimbang tindakan pemimpin DAP mempertikaikan kontrak sosial yang menjadi tunjang utama kepada kemerdekaan negara.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bermula dengan ucapan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh di Parlimen Selasa lalu, sewaktu menyerang Kongres Maruah Melayu secara terangan menyebut Kontrak Sosial ini tidak wujud dengan berkata; “There is no social contract”.

Katanya, ia sengaja direka dan diambil entah dari mana untuk mengeruhkan keadaan.

“Hari ini seorang lagi pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy ketika menyerang Majlis Profesor Negara yang mempertahankan Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling juga menyebut kontrak sosial ini tidak wujud dengan berkata; “The nebulous “social contract” was more a figment of Zainal’s imagination than anything else”.

Beliau menjelaskan, tindakan pemimpin DAP itu membuktikan janji Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mereka akan mempertahankan perkara asas yang terkandung dalam Perlembagaan, menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah janji palsu semata-mata.

“DAP biadab kerana menentang secara terbuka titah Raja-Raja Melayu melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 16 Oktober 2008 supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan, lebih lagi disemak semula atau diubah serta tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Begitu juga titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 6 Ogos 2018 supaya jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan itu, Dr. Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mencabar PH supaya ‘menendang’ keluar DAP dari PH atas tindakan pemimpin berkenaan mempertikaikan kontrak sosial.

Beliau juga mencabar PH merafak sembah Ke bawah Duli Raja-Raja Melayu supaya memandang serius tindakan pemimpin DAP menentang secara terbuka titah supaya Kontrak Sosial itu tidak dipertikaikan.

“Saya menggesa polis menyiasat dan menahan pemimpin DAP yang mempertikaikan Kontrak Sosial ini kerana tindakan begini berpotensi mendatangkan huru-hara dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette