PULAU PINANG – Kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia, Hew Kuan Yau yang menghasilkan buku komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” menafikan bukunya mengagungkan DAP dan menyebarkan fahaman Komunis.
Selepas mencetuskan kontroversi kerana diedarkan secara percuma di sekolah menengah, Kuan Yau yang menerima gelaran “Superman” berkata, komik Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris itu telah menerima nombor buku standard antarabangsa (ISBN) daripada Perpustakaan Negara.
Katanya, sebagai bahan bacaan yang “wajar”, tiada masalah untuk ia diedarkan di sekolah menengah.
Tegasnya lagi, komik itu disertakan maklumat penerbit dan bukannya seperti buku terbitan UMNO yang tidak dilampirkan nama pengarang dan pencetak.
Ketika dihubungi China Press, Kuan Yau berkata, edisi bahasa Inggeris dan Cina dengan masing-masing 5,000 dan 10,000 naskah dicetak pada April manakala 3,000 nashkah dalam bahasa Melayu dicetak pada Ogos.
“Pihak muzium bercadang mengirimkan 2,500 naskah versi bahasa Melayu untuk ditempatkan di perpustakaan sekolah supaya boleh dibaca pelajar,” katanya.
Menurutnya lagi, komik itu juga dihadiahkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Presiden China, Xi Jinping sebelum berlangsungnya sidang kemuncak Jalur dan Jalan (Belt and Road) di China.
“Pada masa itu, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian telah memberi penjelasan tentang komik ini kepada Jinping,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan dilaporkan tidak pernah mengeluarkan kebenaran untuk pengedaran buku komik kontroversi itu kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.
Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima edaran buku komik itu daripada mana-mana pihak atau pembekal. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
KPM tak pernah luluskan buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’