WASHINGTON – Huawei sedang mengadakan rundingan peringkat awal dengan beberapa syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS) mengenai cadangan untuk memberi lesen teknologi rangkaian 5Gnya kepada mereka, kata seorang eksekutif Huawei kepada Reuters.

Naib Presiden Kanan dan ahli lembaga pengarah syarikat, Vincent Pang berkata, terdapat beberapa firma telah menyatakan minat mereka sama ada dalam perjanjian jangka panjang atau pemindahan sekali (one-off transfer).

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat-syarikat terbabit.

“Terdapat beberapa syarikat yang sedang berunding dengan kami dan ia mungkin mengambil masa yang panjang sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan,” katanya yang menjelaskan tujuan lawatan beliau ke Washington minggu ini.

“Ada yang telah menunjukkan minat,” tambahnya sambil menokok rundingan hanya berlangsung beberapa minggu sahaja dan tiada butiran terperinci yang boleh diputuskan ketika ini.

Ketika ini tiada penyedia 5G kepada Amerika Syarikat kerana pesaing dari Eropah seperti Ericsson dan Nokia secara umumnya menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih mahal.- MalaysiaGazette