Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas dari Kuala Nerus menyokong tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melarang pengedaran buku komik adalah tepat kerana bercorak propaganda DAP.

Selain kandungan komik itu mengagungkan negara China secara keterlaluan, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia akan memberi tanggapan salah mengenai masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Apatah lagi, ujar beliau, apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah mengumumkan tidak tahu menahu mengenai komik itu dan menafikan memberi restu.

“Ini menunjukkan Dr. Mahathir juga tidak bersetuju dengan kandungan komik berkenaan.

“Belum pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan, dan hanya berlaku ketika pemerintahan Pakatan harapan (PH), pemimpin parti kerajaan secara konsisten menentang dan menghentam dasar dan pemimpin sendiri, khususnya menteri (Dr. Maszlee) dan Perdana Menteri mereka sendiri.

“Tindakan itu berterusan dengan 43 pemimpin DAP membantah pengumuman Dr. Maszlee, yang melarang pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)’ daripada memasuki perpustakaan sekolah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, kumpulan 43 pemimpin DAP itu juga turut mengecam Dr. Maszlee yang dikatakan semakin cenderung kepada UMNO yang rasis.

Kumpulan itu juga, katanya, mendesak menteri menarik balik arahan yang disifatkan tidak munasabah dan kini mahu komik itu dibenarkan memasuki bukan sahaja perpustakaan sekolah, tetapi juga perpustakaan universiti.

“Selain itu, mereka mendesak polis supaya tidak melakukan siasatan ke atas Dr. Hew Kuan Yau selaku penulis isi komik berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, Ketua Penerangan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ulya Aqamah Husamudin membidas kenyataan biadab 43 pemimpin terbabit dan mendesak DAP mendisiplinkan kumpulan itu yang menyerang menteri sendiri.

“Saya tidak bersetuju Ulya Aqamah mahu DAP mendisiplinkan 43 pemimpin mereka kerana sepatutnya DAP yang perlu didisiplinkan oleh Perdana Menteri dan PH atas tindakan pemimpinnya menentang dan menghentam secara berterusan dasar dan pemimpin kerajaan.

“Malah, DAP sudah tidak boleh didisiplinkan lagi, hanya menendangnya keluar dari kerajaan dan PH satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara dari mengalami kehancuran.

“Jika tidak, semua institusi negara termasuk polis akan terus tidak selamat dengan terus-menerus cuba ditekan dan dicampuri urusannya oleh DAP supaya jadi selaras dengan kehendaknya,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. maaf cakaplah….nak kata rasis, rasislah!!! memang DAP ini dah TERLAMPAU sesangat. sebahagian masyarakat cina n india pun tak suka mereka ini. KITA TUNGGU PRU15……..

Comments are closed.