Dr. Najihatussaehah Ahmad

KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Perak mengingatkan Exco Agama negeri itu tidak terlampau sempit berfikir mengenai kempen Buy Muslim First (BMF).

Kata Ketuanya, Dr. Najihatussaehah Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi hanya melihat aktiviti BMF sebagai tindakan bersifat politik semata-mata.

Ujarnya, beliau terkilan apabila larangan itu turut melibatkan semua masjid di seluruh Perak, hanya kerana program kempen BMF yang dianjurkan di sebuah masjid di Ulu Kinta pada Jumaat lalu.

“Kempen itu mendapat sambutan menggalakkan dari pengeluar produk muslim dan orang ramai, dan masjid wajar diberikan kebebasan atau keizinan untuk melakukan aktiviti berkaitan umat Islam termasuk untuk meningkatkan peluang ekonomi kepada orang Islam.

“Sudah tiba masanya semua pemimpin muslim tidak kira latarbelakang parti atau pertubuhan bersama memberikan sokongan kepada kempen BMF yang dilakukan oleh NGO Ummah dan beberapa yang lain.

“Orang Islam Melayu adalah pengguna terbesar di negara ini dan dilihat bahawa kempen BMF ini boleh mempengaruhi harga barangan lain yang berada di pasaran,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Kerajaan Perak semalam, melarang sebarang penganjuran kempen BMF di dalam kawasan masjid selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Asmuni dilaporkan berkata, keutamaan diberikan kepada promosi kempen Beli Barangan Halal Dahulu seperti yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, penganjuran BMF oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan itu dilaksanakan bukan untuk kepentingan umum, tetapi bertujuan politik pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Dr. Najihatussaehah berkata, secara tidak langsung kempen itu memberi kesan positif kepada pengguna lain kerana dapat menikmati harga barangan lain dengan lebih murah.

“Tahniah diucapkan kepada NGO Ummah atas usaha murni ini,” katanya. – MalaysiaGazette