LUXOR, Mesir – Mesir mendedahkan 30 buah keranda kuno yang berisi mumia, merupakan pertemuan terbesar, yang ditemui di selatan negara itu di Luxor.

Sepasukan ahli arkeologi menemui ‘sekumpulan 30 buah keranda kayu bewarna untuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak’ yang tersembunyi di tanah perkuburan Al-Asasif di tebing barat Luxor, menurut kenyataan Kementerian Antikuiti, lapor Reuters.

“Ia adalah penemuan keranda manusia tersembunyi terbesar pertama ditemui sejak akhir kurun ke-19,” kata Menteri Antikuiti Mesir,  Khaled El-Enany yang dipetik berkata semasa majlis pengumuman penemuan itu di Luxor.

Keranda yang diukir dan dicat tersebut, berusia 3,000 tahun, diisi dengan mumia dan berada dalam ‘keadaan baik, berwarna dan berukiran’, tambah kenyataan itu.

Terdapat mumia paderi lelaki dan perempuan serta kanak-kanak yang hidup pada kurun ke-10 Sebelum Masihi di bawah dinasti Firaun ke-22, kata ketua projek penggalian itu, Mostafa Waziri.

Kerja-kerka pemulihan keranda tersebut akan dilakukan sebelum ia dipindahkan ke ruang pameran Muzium Mesir Utama yang terletak bersebelahan piramid Giza yang akan dibuka pada tahun depan.

Penemuan terbaharu itu merupakan beberapa siri penemuan besar peninggalan purba yang mana Mesir berharap akan menghidupkan semula sektor pelancongan setelah menerima kesan teruk akibat ketidaktentuan politik sejak 2011 berikutan pemberontakan yang menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak.

Pada awal bulan ini, Mesir mendedahkan penemuan arkeologi di Luxor termasuk zon industri di Lembah Barat bandar itu yang juga dikenali dengan nama Lembah Monyet. – Agensi