Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – UMNO Wilayah Persekutuan bertekad untuk menghapuskan pengkhianat-pengkhinat yang enggan keluar daripada parti meskipun telah menyertai parti lawan.

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya telah mengesan bahawa individu terbabit masih lagi berada di dalam UMNO meskipun mereka sudah didesak untuk meninggalkan parti.

Katanya, apa yang dikesalkan ialah apabila individu terbabit meminta pula bukti bagi menunjukkkan beliau telah menyertai parti lain walaupun secara terang-terangan sikapnya itu telah diketahui banyak pihak di dalam parti.

“Sudah tiba masanya kita terpaksa membuat skrin terhadap keahlian kita. Saya dapati ada bekas-bekas ketua bahagian di Wilayah Persekutuan ini yang pernah menjadi Senator, yang telah jadi wakil rakyat telah masuk parti lawan tapi kita masih simpan nama dia dalam UMNO.

“Sehinggalah bila kita beritahu dia cakap kita nak tengok bukti, bukti apa. Takkanlah kita nak pergi ambil bukti-bukti ni nak junmpa dengan parti-parti lawan tersebut keluarkan dia punya pendaftaran.

“Sudah cukup kalau kita hantar surat, beritahu dia, confirm sama ada dia jadi ahlin parti itu atau tidak,” katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Konvensyen tersebut dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Johari berkata, ramai dalam kalangan ahli UMNO di Wilayah Persekutuan telah menemui bukti pendaftraan individu terbabit ke dalam parti lawan sejurus UMNO dan Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu.

Bagaimanapun katanya, selepas wujud permuafakatan antara UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional individu terbabit kini merasa ketakutan meskipun pada awalnya menyangka parti keramat orang Melayu ini akan berkubur.

Tambah beliau, dalam membangunkan sesebuah tidak boleh ada pengkhianat di dalam parti kerana jika perkara itu berlaku perjuangan yang dilakukan hanya sia-sia.

Katanya lagi, pengkhianat di dalam parti boleh diibaratkan sebagai pengkhianat negara dan pengkhianat seperti itu perlu dihapuskan serta tidak boleh diberi ruang seinci pun di dalam UMNO. – MalaysiaGazette