Barisan pesawat Max 737 di kawasan kemudahan Boeing di Lapangan Terbang Antarabangsa Grant County, dekat Moses Lake, Washington. foto Agensi

SEATTLE – Boeing Co. kesal dan memahami kebimbangan yang dikemukakan dalam mesej bekas juruterbang ujian dalaman Boeing tentang ‘tingkah laku ketidaktentuan’ pesawat Max 939 dua tahun lalu sebelum berlakunya nahas.

Dalam mesej pada November 2016 itu, Ketua Teknikal Juruterbang Boeing ketika itu, Mark Forkner telah memaklumkan bahawa sistem anti-henti yang dikenali sebagai MCAS – yang ada kaitan dengan nahas di Indonesia dan Ethiopia telah ‘beroperasi secara tidak terkawal’ semasa dalam penerbangan, menurut Reuters yang mendedahkan mesej itu.

Boeing berkata, ia menyiasat tentang ‘pertukaran’ tersebut dan kesal tentang kesukaran tersebut yang dibentangkan kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

FAA telah mengarahkan Ketua Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg untuk memberi penjelasan segera berhubung penangguhan tindakan terhadap kebimbangan yang dikemukakan dalam mesej yang diketahuinya beberapa bulan lalu.

Mesej berkenaan telah menyebabkan Kongres memanggil Boeing, sekali gus menggoncang pengurusan syarikat pembuat kapal terbang itu yang bergelut untuk membina kepercayaan semula para pelanggannya selepas lapan bulan pesawat 737 Max digantung daripada beroperasi.

“Kami memahami sepenuhnya pengawasan yang diterima dan komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa penyiasat dan Kongres Amerika Syarikat ketika mereka meneruskan penyiasatan mereka,” kata Boeing dalam pernyataannya pada hari Ahad.

Pendedahan tentang mesej tersebut menerima reaksi keras dari beberapa Ahli Parlimen Demokrat di Washington dengan Wakil Peter DeFazio berkata: “Ini bukan kejadian terpencil.”

Muilenburg yang dilucutkan jawatan sebagai Pengerusi Boeing oleh lembaga pengarah sembilan hari lalu diminta untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa pada 30 Oktober ini.

De Fazio juga menuntut perincian tentang tinjauan 2016 yang mendapati hanpir 40 peratus daripada 523 kakitangan yang mengendalikan sijil keselamatan kerja menerima tekanan seperti buli dan paksaan daripada pengurus.

Kebimbangan utama lain termasuk “tekanan jadual” dan “beban kerja yang tinggi”, walaupun 90 peratus pekerja berkata,
mereka selesa mengemukakan mengenai “tekanan yang tidak wajar” kepada pihak pengurusan, menurut satu salinan pembentangan Boeing mengenai hasil kajian. – MalaysiaGazette