Datuk Mohd Rashid Hasnon
Datuk Mohd Rashid Hasnon

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata gesaan agar Parlimen mengumumkan senarai nama Ahli Parlimen yang tidak hadir ke dewan akan dibincangkan.

Menurut Rashid lagi, sekiranya gesaan itu boleh menyedarkan Ahli-ahli Parlimen mengenai tanggungjawab yang dipikul oleh mereka, maka cadangan itu perlu untuk diperhalusi.

“Pada pandangan saya boleh sesekali buat (umum nama yang sering tidak hadir) untuk menyedarkan Ahli Dewan Rakyat dan boleh bawa dalam perbincangan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kehadiran yang tidak memuaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat semasa perbahasan Belanjawan 2020 minggu lalu.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, tindakan itu tidak dilakukan kini kerana ia dilihat tidak elok untuk imej Parlimen.

“Untuk peringkat kami, kami boleh dapatkan nama itu tapi tidak elok untuk kita sebarkan nama mereka. Sesiapa yang nak tahu boleh jumpa pihak pengurusan Parlimen.

“Saya harap Ahli Parlimen jangan langsung tidak hadir kerana mereka boleh mendengar di cafe tapi saya mahu mereka sentiasa hadir,” katanya lagi.

Khamis lalu, sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama 10 minit pada jam 4.05 petang, apabila jumlah Ahli Parlimen yang hadir tidak mencukup syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang baru berlaku pada penggal ini.

Kejadian seumpama itu pernah berlaku beberapa kali dan memaksa speaker membunyikan loceng bagi mengarahkan Ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mencadangkan Parlimen dibubarkan gara-gara ramai Ahli-ahli Parlimen tidak menghadiri perbahasan yang berlangsung di Dewan Rakyat.

Kegagalan itu katanya, mencerminkan mereka tidak berminat dengan apa yang disampaikan. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ahli parlimen mkn gaji buta. Dtg parlimen duduk sembang di Cafe. Baik bubar je parlimen sbb dah x minat hadir sidang parlimen.

Comments are closed.