KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan mengutus nota diplomatik ke India berhubung rancangan negara tersebut mahu mengurangkan pembelian minyak sawit dari negara ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun dua negara ini mempunyai hubungan dagang bilateral yang baik, namun pendirian kerajaan dalam perhimpunan Agung PBB berhubung konflik umat Islam di Jammu dan Kashmir harus dipertahankan.
“Isu di Jammu dan Kashmir adalah isu melibatkan kepentingan umat Islam dan hak kemanusiaan.
“Malaysia sebagai negara yang vokal terhadap isu-isu umat Islam sedunia mesti konsisten menyuarakan pandangan dan tidak akan mudah tunduk terhadap desakan daripada mana-mana pihak.
“Pada masa sama, Malaysia harus terus menyesuaikan keadaan untuk mengimbangi kemungkinan kejatuhan berterusan harga minyak sawit mungkin akan menjejaskan pendapatan pekebun tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Minggu lalu, syarikat penapis minyak sawit India mula menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia untuk penghantaran November dan Disember ini.
Lima pembeli minyak sawit India berkata, perkara itu disebabkan mereka khuatir Kerajaan India akan menaikkan cukai import atau menguatkuasakan langkah lain untuk membendung import dari negara Asia Tenggara.
Sebelum ini, laporan media menyatakan India sedang mempertimbangkan untuk menyekat import beberapa produk dari Malaysia termasuk minyak sawit selepas negara ini mengkritik India kerana tindakannya di Kashmir.
Kerajaan India bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai minyak sawit Malaysia. – MalaysiaGazette
malaysia ini hanya bergantung pada negara india aje ke pasal kelapa sawit!