Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu mengutamakan tender bukan gender.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan mengulas rakaman video tular melibatkan seorang wanita cantik berkebaya yang mewakili sebuah syarikat yang mengadakan perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan itu baru-baru ini.

Shahir seterusnya mahu penjelasan Syed Saddiq sama ada peruntukan Belanjawan 2020 sebanyak RM20 juta untuk sukan elektronik bakal diberikan kepada Syarikat Orange Esport yang diwakili oleh mereka yang bertemu dengannya termasuk wanita yang dikenali sebagai Cleopatra dalam rakaman itu.

Justeri beliau menggesa Ahli Parlimen Muar memberi penjelasan terhadap perkara itu bagi mengelak salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia terutama anak-anak muda.

“Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq diminta memfokuskan kepada persoalan tender sukan elektronik (esport), bukan gender (wanita berkebaya),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DPIM dalam masa yang sama turut menggesa rakyat Malaysia untuk tidak menyebarkan berita palsu tanpa memeriksa kesahihan fakta mana-mana individu di samping memberi penekanan terhadap isu pokok iaitu tender, bukan gender.

Dalam pada itu, Shahir menggesa Kementerian Belia dan Sukan berkongsi rangka tindakan (blueprint) pembangunan sukan elektronik e-sport yang dijanjikan untuk dilaksanakan pada April lalu tetapi ditunda ke bulan Jun dan sepi sehingga kini.

“Persoalannya juga, adakah Orange Esport ini mempunyai rangka tindakan (blue print) kepada suka elektronik negara untuk tahun 2020?

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyokong apa jua pelan pembangunan sukan elektronik jika ia memberikan kebaikan kepada anak muda, tetapi haruslah melalui proses yang betul, tanpa unsur pilih kasih, berat sebelah dan salah guna kuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

‘Cleopatra’ bukan transgender – Syed Saddiq