Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 24 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu mahkamah, walaupun sedia maklum tentang ‘bahaya’ di hadapannya, namun beliau hanya sekadar ‘menurut perintah’.

Saksi ke-9 perbicaraan 1MDB yang masuk hari ke-25 sebentar tadi, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendakwa beliau sedia maklum tentang hutang sebanyak US$700 juta (RM2.9 bilion) oleh PetroSaudi International Ltd (PSI) sekitar tahun.

Malah Shahrol juga mengakui ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela, Tan Sri Muhamaad Shafee Abdullah bahawa beliau juga tidak memaklumkan tentang maklumat itu kepada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang lain.

Dakwa Shahrol, beliau hanya mengetahui tentang hutang itu beberapa jam sebelum termetrainya usaha sama antara 1MDB dan PSI pada 28 September 2009.

Bagaimanapun, dakwa Shahrol, bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang dan ahli perniagaan dalam buruan ketika ini, Low Taek Jho atau Jho Low telah memberikan jaminan serta tekanan kepadanya untuk menandatangani usahasama tersebut.

“Saya dapat tekanan daripada Jho Low untuk tandatangan sahaja perjanjian tersebut oleh Jho Low. Kata Jho Low itu merupakan arahan daripada ‘bos’ yang mahu ianya dilaksanakan dalam apa jua perkara.

“Malah saya sempat memberitahu Casey namun dia memberitahu adalah lebih baik untuk tandatangan sahaja perjanjian tersebut.

“Pada andaian saya, itu adalah arahan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Dan saya hanya laksanakan tanggungjawab saya. Saya juga percaya Casey dan Jho Low hanya mengikut arahan daripada Najib.

“Saya sememangnya tanya Casey dulu, adakah okay untuk saya tandatangan tetapi Casey kata okay, saya pun tandatangan sahaja tanpa banyak soal. Saya percaya pada nasihat Casey sebenarnya,” katanya di hadapan Hakim Mahkahmah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Shahrol juga bertegas selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Jho Low dan Casey, beliau bertanggapan tidak ada satu keperluan untuk memaklumkan apa-apa kepada Ahli Lembaga Pengarah.

Shahrol juga mendedahkan Ahli Lembaga Pengarah tidak mempersoalkan hutang AS$700 juta yang berbangkit daripada perjanjian usaha sama itu.

“Saya juga sendiri tidak tanya tentang perkara itu kerana pada sangkaan saya hanya mengikut arahan seperti yang diarahkan oleh Jho Low sebenarnya.

“Tiada sebarang rundingan dibuat bersama Ahli Lembaga Pengarah berkenaan pinjaman AS$700 juta dan saya hanya ikut arahan.

“Ahli Lembaga Pengarah juga tidak pernah melihat kertas pemilikan mengenai aset yang kononnya dimiliki PetroSaudi International Ltd.

“Bagaimanapun, Najib juga okay dengan apa yang berlaku ketika itu malah apa sahaja yang berlaku saya percaya berpandukan persetujuan oleh Najib sebenarnya. Saya ikut arahan tanpa fikir apa-apa,” tegasnya.

Perbicaraan sedang bersambung ketika ini di hadapan Collin. –MalaysiaGazette