BANGKOK- Mata wang Thailand, Baht melonjak sehingga 0.2 peratus pada Jumaat kepada 30.228/ dolar AS, paras tertinggi sejak Mei 2013.
Ini menjadikannya meningkat sebanyak 7.6 peratus tahun ini, lebih banyak berbanding mana-mana mata wang negara pesat membangun yang lain kecuali mata wang Rusia.
Terdapat beberapa faktor yang menarik pelabur ke Thailand menjadikannya syurga pelabur asing.
Namun, faktor paling utama adalah kekukuhan akaun semasa negara tersebut menjadi punca kebanjiran pelabur asing, kata penganalisis-penganalisis di Goldman Sachs Group Inc.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan Thailand akan mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi enam peratus, hampir dua kali ganda berbanding Jepun.
Paras rizab dan inflasi Thailand juga memberikan keselesaan kepada pelabur.
Rizab antarabangsa bank pusat negara tersebut berada pada paras AS$220 bilion, bersamaan dengan lebih 12 bulan import manakala inflasi berada pada paras 0.3 peratus walaupun bank pusat mensasarkan inflasi sekitar satu hingga empat peratus sejak Jun lalu.
Selain itu, Thailand turut mendapat rangsangan daripada emas yang mana negara tersebut merupakan hab kepada dagangan bullion.
Negara berkenaan mendapat manfaat daripada perang perdagangan China-AS serta kelembapan ekonomi yang menyebabkan harga emas melonjak sehingga 17 peratus tahun ini.
Bagaimanapun, sama seperti kes-kes pengukuhan mata wang yang lain yang mana ia akan menjejaskan pengeksport, Thailand juga tidak terkecuali.
Sebagai sebuah negara yang mana industri pelancongan adalah penyumbang kelima terbesar KDNK, Majlis Pelancongan Thailand terpaksa menyemak turun unjuran pelancong ke negara itu pada tahun ini kepada kurang daripada 40 juta orang.
Ini adalah disebabkan oleh peningkatan Baht.
Peningkatan Baht yang ampuh meskipun pelbagai langkah telah diambil pihak berkuasa kerana bimbang ia akan menjejaskan ekonomi negara bernilai AS$505 bilion itu menyebabkan Menteri Kewangan Thailand, Uttama Savanayana pada 9 Oktober lalu mengarahkan bank pusat supaya “mengatasi masalah” mata wang tersebut.- Agensi