Isshu Sugawara

TOKYO – Menteri Perdagangan baharu Jepun melepaskan jawatan selepas didakwa melanggar undang-undang pilihan raya.

Tindakan itu dibuat selepas Isshu Sugawara memberi penduduk kawasannya tembikai, limau, telur ikan dan madu yang mahal.

Beliau juga didakwa menawarkan “wang takziah” sebanyak 20,000 yen Jepun (AS$ 185) kepada keluarga penyokongnya.

Undang-undang pilihan raya Jepun melarang sama sekali ahli politik daripada menghantar sumbangan kepada pengundi.

Tuduhan itu pertama kali muncul dalam majalah mingguan Shukan Bunshun, yang mengatakan Setiausaha Sugawara telah menawarkan kira-kira 20,000 yen kepada keluarga penduduk kawasannya yang telah meninggal dunia.

Majalah itu juga mencetak senarai hadiah yang telah dihantar oleh pejabatnya, termasuk telur ikan kod dan oren, serta surat terima kasih yang ia didakwa diperoleh dari penerima.

Sugawara memberitahu pemberita pada hari Jumaat bahawa beliau masih mencari pengesahan sama ada sudah melanggar undang-undang pilihan raya atau sebaliknya, tetapi telah memutuskan untuk melepaskan jawatan, menurut Nikkei Asian Review.

“Saya tidak mahu masalah saya melambatkan perbincangan parlimen,” kata Sugawara.

Perdana Menteri Shinzo Abe berkata: “Saya bertanggungjawab kerana telah melantiknya. Saya sangat meminta maaf kepada rakyat Jepun. – MalaysiaGazette