Jambatan angkat Terengganu

KUALA LUMPUR – Terengganu terus diiktiraf dalam bidang pelancongan apabila jambatan angkat atau drawbridge merangkul Anugerah Ikon Pelancongan Baharu Terbaik pada acara Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2019 di Selangor, malam tadi.

Selain itu, aktiviti mencandat sotong yang popular dan sinonim dengan Terengganu dinobatkan sebagai Program Pelancongan Paling Popular, manakala resort percutian, Mimpi Perhentian Terengganu di Pulau Perhentian diangkat sebagai Resort Pulau Terbaik pada acara anugerah berprestij itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman, berkata kejayaan pelancongan Terengganu dalam meraih anugerah itu diharap dapat memberi inspirasi kepada semua pihak terutama agensi dan pemain pelancongan dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

Beliau berkata, anugerah itu membuktikan usaha kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu dengan kerjasama TI Properties dan pemain pelancongan dalam mempromosikan jambatan angkat sebagai mercu tanda utama pelancongan negeri berhasil dengan pengiktirafan diberikan.

“Sehingga hari ini, pengunjung berbayar ke jambatan angkat sudah mencecah angka 27,553 orang selepas dikenakan tiket sejak 15 September lalu.

“Pelbagai aktiviti promosi dan program dirangka oleh Tourism Terengganu dan TI Properties untuk 2020 bagi menambah kedatangan pengunjung ke ‘drawbridge’ seperti Pertandingan Kolek Drawbridge, Lumba Perahu Layar dan Pertandingan Layang-Layang Sedunia serta acara tahunan, iaitu Tower Run, selain Pertandingan Triathlon iaitu berlari, kayuh basikal dan berenang ‘across outer basin’ di jambatan angkat.

“Ini semua tidak termasuk lawatan media dan agensi pelancongan yang sudah dan akan diadakan secara berkala. Semoga dengan pelbagai pengisian termasuk pembukaan restoran di menara ‘drawbridge’ nanti akan dapat dijadikan daya penarik pelancong ke Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Isham Ishak yang mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ariffin.

Ariffin memaklumkan, taklimat khas mengenai ikon pelancongan baharu Terengganu itu juga akan diberikan kepada media luar negara ketika penyertaan Terengganu dalam World Travel Mart di London, iaitu program pelancongan terbesar di dunia pada awal November ini.

Dalam pada itu Ariffin berkata, aktiviti candat sotong Terengganu yang turut memenangi anugerah sememangnya program yang berjaya menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara dengan keistimewaan aktiviti itu sekitar April hingga Julai setiap tahun.

Katanya, acara yang mempunyai keunikan tersendiri itu dimasukkan sebagai aktiviti utama VMY2020 dan akan dilancarkan di daerah Marang pada awal April 2020. – MalaysiaGazette