BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menangguhkan Brexit hingga 31 Januari.

Pengesahan itu dibuat oleh Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk menerusi Twitter.

Tusk berkata, blok itu akan membenarkan ‘lanjutan fleksibel’ – bermakna United Kingdom boleh meninggalkan EU sebelum tempoh akhir jika perjanjian diluluskan Parlimen.

Keputusan itu dibuat ketika ahli-ahli Parlimen bersedia untuk mengundi cadangan Boris Johnson bagi mengadakan pilihan raya awal pada 12 Disember ini.

Parti Kebangsaan Scotland (SNP) dan Demokrat Liberal (LD) juga mahu undi dijalankan pada 9 Disember.

Draf teks perjanjian untuk 27 duta EU – yang dilihat oleh BBC – juga termasuk komitmen Perjanjian Pengunduran yang menyatakan tindakan keluar dari EU tidak boleh dirundingkan semula pada masa akan datang.

United Kingdom sepatutnya meninggalkan EU pada hari Khamis ini, tetapi Perdana Menteri, Boris Johnson dikehendaki meminta lanjutan daripada blok itu setelah Parlimen gagal menyetujui perjanjian Brexit. – MalaysiaGazette