Barisan Nasional akan mengumumkan calon bagi PRK Tanjung Piai Rabu ini.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seakan mengiakan desas desus bahawa Barisan Nasional (BN)menghadapi kesukaran untuk menentukan calon mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan hadapan.

Dalam ucapan perasmian jentera BN di Pontian hari ini, Ahmad Zahid berkata gabungan Pakatan Harapan (PH) juga mengalami situasi yang sama iaitu perebutan kerusi dan pergaduhan sesama sendiri dalam menentukan calon mereka.

“Kita nak bagi tahu calon belah sana, biar mereka umum dahulu, kita tahu mereka pun berebut dan bergaduh sama sendiri, tunggu 16 November kita bawa ke hujung benua,” katanya hari ini.

Dakwaan itu dikuatkan lagi dengan tindakan BN yang tidak mengumumkan calonnya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, beliau dinasihatkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong agar tidak menamankan calon mereka hari ini.

Beliau juga memberikan kuasa penuh kepada Hasni untuk merngumumkannya pada waktu yang dikira sesuai.

“Calon yang akan kita kemukakan ini lebih baik daripada Dr Farid. Calon juga anak tempatan, tetapi (dinasihatka) jangan umumkan calon hari ini,” katanya lagi.

BN sebelum ini didakwa menghadapi kesukaran dalam meletakan calonnya apabila MCA “masih berkeras” mahu meletakkan calon mereka iaitu Datuk Seri Wee Jeck Seng untuk bertanding bagi merampas kembali kerusi berkenaan.

Ia berikutan Parlimen Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA sebelum ini, namun wujud desakan daripada UMNO Bahagian Tanjung Piai agar kerusi itu diserahkan kepada parti berkenaan.

Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada tahun 2013 hingga 2018, manakala sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas.

PH hari ini mengumumkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Tanjung Piai.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Jeck Seng kalah tipis kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan perbezaan 524 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan 16 November ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meninggal dunia di Hospital Pontian, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 November depan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian. -MalaysiaGazette