Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menggunakan kuasa sewenang-wenangnya sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Malah, ujar Presiden PKR Itu, setiap dasar akan melalui proses perbincangan, rundingan dan mendapatkan pandangan dari pelbagai golongan profesional, sebelum dilaksanakan di bawah pentadbirannya.

“Saya tidak akan menggunakan kuasa itu.. saya akan panggil semua pihak duduk berbincang dan dapatkan keputusan secara bersama,” katanya dalam sesi soal jawab dalam program AZKA Talk, ‘Peranan Zakat Dalam Menangani Kesenjangan Ekonomi’, di sebuah resort di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff; dan Ketua Syariah Pengurusan Etiqa Takaful Berhad, Dr. Mohamed Hadi Abd. Hamid.

Menjawab soalan peserta lain mengenai mekanisme pengagihan zakat, Anwar berkata, ia perlu diteliti semula supaya kaedah bantuan itu dapat membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi asnaf.

Katanya, beliau mencadangkan beberapa mekanisme berhubung pengagihan dan bantuan zakat kepada golongan asnaf menepati matlamat perjuangannya membebaskan mereka dari taraf kemiskinan.

Beliau pada dasarnya melihat mekanisme yang dilaksanakan kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) sebagai tidak sistematik dan gagal membela nasib rakyat miskin.

“Biasanya kerajaan menerusi Pusat Punggutan Zakat (PPZ) mengenal pasti asnaf dan anak mereka yang layak menerima bantuan itu.

“Mereka kemudian diberi bantuan kewangan antara RM200 hingga RM300 sebulan. Sampai bila pun bantuan ini tidak akan mengubah nasib mereka. Kalau tidak disambung, mereka memberontak tidak sokongan kerajaan.

“Kalau untuk kategori Orang Kurang Upaya (OKU), okey, tetapi jika penerima itu sihat, mereka boleh diberikan bantuan lain yang berkaitan dengan mencari sumber pendapatan, seperti bekerja tukang sapu,” katanya.

Berhubung soalan peserta dari Universiti Malaya (UM) yang bertanyakan setuju atau tidak, wang zakat turut diagihkan kepada bukan Islam yang miskin, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan bersetuju dengan cadangan itu.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu ada dibincangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Fuziah Salleh) sebelum ini dan akan mengambil masa untuk mendapatkan keputusan.

“Setuju cadangan ini, sebab saya juga ditanya, kenapa masyarakat bukan Islam tidak menerima bantuan itu, sedangkan mereka juga pengeluar cukai yang besar.

“Ini yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bincangkan. Untuk memberi kefahaman kepada mereka mengenai perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Anwar oiii org bukan Islam tak bayar zakat yg hangpa setuju nak bagi zakat kat bukan Islam tu apahal… Kami Tak kisah kalah bukan Islam pun bayar zakat mcm mana org Islam bayar… Then baru bukan Islam layak dpt zakat… Itu pun dah nampak kau nak salah guna kuasa nuor oiii

  2. Senang cerita mcm ni lah:-
    Org islam byr zakat dan cukai pendapatan.
    Org bkn islam byr cukai pendapatan saja.
    So, sapa yg lbh berhak keatas wang zakat?
    Jgn krn nk popular dan manfaat politik, yg x bolehpun dikatakan boleh.
    Hukum agama jgn dipermainkan.

  3. Itu cerita anuar sebelum dapat jadi PM. Apa sudah jadi dengan janji2 dia sebelum pilihanraya . Malam ini keputusan pilihanraya ph menang. Esok minyak akan turun. tol, PTPTN dan banyak lagi janji anuar. Sudah menang apa yang berlaku sekarang. Perebutan kuasa pula. Bukan untuk mentadbirkan negara. Boleh percaya ke bila dia jadi PM. Memang kena kencing lah sapa yang percaya.

  4. Cukai dan zakat berlainan sumber, cukai dikenakan pada semua warga dan pemastautin yg layak membayar cukai manakala zakat hanya dikenakan/dikutip dari kalangan Umat Islam sahaja dan tidak dari penganut agama lain.

Comments are closed.