KUALA LUMPUR – Polis akan mengemukakan cadangan supaya Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dikenakan bon mahkamah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pandangan itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas 17 laporan polis yang mengaitkan individu itu atas pelbagai dakwaan diterima sehingga kini.
“Terdapat tujuh laporan di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman selain 10 laporan di bawah polis kontinjen yang berkait dengan dirinya atas kesalahan antaranya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di media sosial dan perhimpunan aman disertainya.
“Bon mahkamah itu antara lain bertindak supaya dia dikenakan syarat-syarat tambahan ke atas jaminan bagi pendakwaan terhadapnya di mana dia perlu hadir melapor diri di balai polis terdekat sekiranya berulang melakukan kesalahan sama,” katanya pada sidang media harian Bukit Aman di sini, hari ini.
Huzir berkata, jika cadangan mengenakan bon mahkamah itu dipersetujui, Lokman turut berkemungkinan dikenakan jaminan berkelakuan baik oleh pihak mahkamah.
“Di bawah Seksyen 67, jika Timbalan Pendakwa Raya berpendapat individu itu berkemungkinan melakukan pecah keamanan dia hendaklah berikan sebab mengapa dia tidak patut diperintahkan menyempurnakan bon berkenaan. Jadi dia kena jaga diri dia supaya dia tak pecah keamanan selama tempoh yang tidak dibenarkan mahkamah,” katanya.
Huzir berkara, polis turut membuka kertas siasatan berhubung satu kenyataan menghasut terbaharu didakwa dilakukan individu itu menerusi halaman Facebooknya yang meminta supaya Parlimen dibubarkan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Huzir berkata, polis telah mengenal pasti identiti individu yang membuat satu kenyataan mempertikaikan mengapa kaum India ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di laman sosial baru-baru ini.
“Polis juga akan menyiasat komen-komen di bawah kenyataaan yang disiarkan itu,” katanya. – Bernama