Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengesahkan premis makanan Ah Cheng Laksa ada sijil halal namun belum memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Itu penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh.

Premis yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor.

“Pensijilan halal yang diperoleh oleh syarikat itu tidak bermakna seluruh rangkaiannya telah dipersijilkan halal kerana bagi permohonan premis makanan berangkai terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi,” katanya yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial mendakwa premis makanan Ah Cheng Laksa di Alamanda, Putrajaya diragui status halalnya dan orang Islam tidak digalakkan mengunjunginya.

Menurut posting di laman Facebook, laksa milik seorang Cina dari Pulau Pinang itu didakwa mengandungi campuran darah babi dan ia kononnya diakui pemiliknya sendiri.

Dalam pada itu, Fuziah juga berkata, bagi mengelakkan kekeliruan itu, pengusaha premis makanan itu di semua rangkaian itu digesa memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada JAKIM.

“Pihak kami menyarankan kepada para pengguna untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Premis atau produk makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia bukan sahaja dijamin halal malahan ia toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard, peraturan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, pengguna juga dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya.

“Orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara,” katanya.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal. – MalaysiaGazette