KUALA LUMPUR – Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) hari ini mengumumkan akan menghantar calonnya bagi mewakili komuniti pengangkutan awam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.
Yang DiPertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, GTSM akan menghantar wakilnya, iaitu Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail sebagai calon bebas.
“GTSM mewakili semua pemandu termasuk teksi, kereta sewa, bas dan lori, kita akan letakkan satu calon kita.
“Ini adalah julung kalinya kita melibatkan diri secara langsung di dalam pilihan raya.
“Setelah kita buat penilaian dan membuat kajian, di antara 3 calon yang disenaraikan dan kita telah bersetuju untuk mencalonkan Datuk Shamsubahrin sebagai calon kita dalam PRK Tanjung Piai.
“Saya harap pengundi di Tanjung Piai untuk memberi undi kepada calon bebas yang akan bertanding,” katanya pada sidang media di Wisma Central, di sini, hari ini.
Pengumuman GTSM itu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada pertengahan November ini.
Shamsubahrin akan berentap dengan tiga lagi calon iaitu Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, mewakili Pakatan Harapan (PH); Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam dan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Weng Jeck Seng.
Dalam pada itu, Kamarudin juga berkata, penglibatan GTSM dalam pilihan raya kali ini adalah untuk memberi mesej kepada PH dan BN bahawa kedua-kedua parti politik itu gagal membela komuniti pengangkutan seperti mereka.
“Sekiranya PH menang mereka tetap kerajaan, sekiranya BN menang, mereka tetap pembangkang
“Kita ambil peluang ini pertama kali kerana kita telah kecewa, sebagai rakyat B40 berasa kecewa apabila selama ini kita lihat BN kita anggap tidak melihat kebajikan kita.
“Tetapi apabila kita beri kepercayaan kepada PH, lebih teruk di mana pelbagai subsidi telah dimansuhkan.
“Contoh di Selangor air percuma akan dikawal semula, apabila PH menang, mereka tak melihat kebajikan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette