KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 3 sen seliter iaitu daripada RM2.59 seliter kepada RM2.56 seliter mulai esok hingga 8 November ini.

Kementerian Kewangan berkata, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.26 seliter dan RM2.33 seliter masing-masing.

Ia juga menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.29 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.29 seliter.

Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 2 November 2019 sehingga 8 November 2019 berjumlah RM86.25 juta. – MalaysiaGazette