Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora (kanan) dan Ketua Pasukan JDT, Haris Harun bercakap pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berharap pertembungan menentang Kedah dalam aksi final Piala Malaysia 2019 dapat ‘diselesaikan’ dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Tiada niat untuk merendahkan kemampuan pasukan bimbingan Aidil Sharin, Mora mendedahkan kualiti bermain dalam tempoh 90 minit tanpa mengheret ke masa tambahan dilihat lebih sesuai buat kedua-dua pasukan.

Mora ketika ditanya adakah skuad Harimau Selatan sudah bersedia untuk bermain dalam masa tambahan atau penentuan sepakan penalti percaya kedua-dua pasukan akan berusaha keras memastikan aksi final Piala Malaysia 2019 akan berakhir dalam tempoh 90 minit.

“Saya fikir kedua-dua pasukan mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit. Saya tidak fikir kita mahu bermain sehingga 120 minit atau ke penentuan sepakan penalti.

“Kedua-dua pasukan mahu bermain di tahap terbaik dan tempoh 90 minit itu adalah satu tempoh bagus buat pasukan bagi menggelakkan masalah keletihan pemain dan sebagainya.

“Apapun kita tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi sudah pasti JDT akan bermain seperti biasa dan memberikan persembahan terbaik dalam aksi final Piala Malaysia 2019 nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora bercakap pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

Sementara itu, Mora turut percaya pasukan yang kurang melakukan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang akan menjadi faktor utama untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini.

“Mana-mana pasukan yang mengurangkan kesilapan dan bermain dengan baik seperti yang dirancang, mereka akan menjadi juara.

“Itulah yang saya harapkan dan saya percaya kami mampu melakukan sesuatu kerana JDT sentiasa memiliki visi untuk melakarkan kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette