PONTIAN – Pas tidak pernah memberikan sebarang restu kepada Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) mengambil bahagian bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan presiden parti berkenaan, Datuk Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz yang mahu bertanding pada PRK tersebut adalah terletak atas kemahuannya sendiri.
“Saya nak tegaskan kita tak restu Berjasa bertanding walaupun mereka dari Gagasan Sejahtera.
“Bila mereka letakkan calon untuk bertanding itu terpulang kepada mereka. Kita dah bagi arahan kepada gabungan kita supaya jangan beri undi kepada Berjasa walaupun satu undi. Semua kena undi kepada MCA,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, Berjasa harus ingat bahawa jumlah undi melebihi 2, 900 yang pernah diperoleh mereka pada pilihan raya umum lalu adalah atas tiket Pas dan bukan parti mereka sendiri.
“Kali ini mereka bertanding atas tiket mereka sendiri, kita lihat berapa banyak undi mereka boleh dapat,” ujarnya.
Terdahulu, Badhrulhisham berkata, penyertaannya untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai tidak menjejaskan hubungan partinya dalam Muafakat Nasional.
Katanya, tidak mungkin akan timbul masalah kerana sejak dari dahulu lagi partinya menyatakan bersetuju dengan Muafakat Nasional yang turut disertai MCA.
Ujarnya, apa yang penting ialah agenda untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam dapat ditegakkan dan ia melebihi segalanya. – MalaysiaGazette