Calon Berjasa P.165 Tanjung Piai, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (tengah) hadir bagi menghantar borang pencalonan pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz yakin penyertaannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tidak menjejaskan hubungan partinya dalam Muafakat Nasional.

Beliau yang juga presiden parti berkenaan berkata, tidak mungkin akan timbul masalah kerana sejak dari dahulu lagi partinya menyatakan bersetuju dengan Muafakat Nasional yang turut disertai MCA.

Malah, apa yang penting ialah agenda untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam dapat ditegakkan dan ia melebihi segalanya.

“Kami telah memaklumkan sebelum ini bahawa kami
akan meletakkan calon jika MCA dipertaruhkan oleh BN dan ia tidak sekali menggugat kami di dalam Muafakat Nasional.

“Sebab bagi kami, Muafakat Nasional perinciannya kami tidak diajak berunding pun. Kami tidak ada masalah antara Pas dan UMNO dalam hal untuk Muafakat Nasional.

“Kita lihat sebahagian daripada Muafakat Nasional itu menegaskan tentang kepentingan untuk memperjuangkan apa yang dikata agenda Melayu Islam,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya di sini hari ini.

Badhrulhisham menegaskan, penyertaan Berjasa pada PRK berkenaan bukan disebabkan BN meletakkan calon Cina untuk bertanding sebaliknya, ia disebabkan parti itu mahu membawa suara masyarakat Islam di Tanjung Piai.

Katanya, beliau yakin kestabilan di negara ini banyak bergantung kepada sejauh mana orang Melayu Islam dapat memimpin dan dapat menyatupadukan kaum itu serta boleh menguntungkan semua pihak termasuk bukan Melayu dan bukan Islam.

“Ia tidak ada istilah bermusuh dengan orang Cina atau orang India. Kami memperjuangkan apa yang disebut dalam Perlembagaan.

“Dalam Perlembagaan menyebut keistimewaan tentang Melayu Islam tetapi juga menyebut keabsahan hak-hak kaum bukan Melayu di tanah air kita,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun ada suara yang mengatakan agar Berjasa menarik diri daripada bertanding pada PRK berkenaan bagi mengelak dituduh mengkhianati Gagasan Sejahtera, beliau yakin ia tidak akan berlaku. – MalaysiaGazette