Wendy Subramaniam. foto SYAFIQ AMBAK, 03 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Negara memerlukan pemimpin baharu yang boleh menyumbang idea baharu, justeru itu apa gunanya jika asyik meletakkan orang lama untuk dikitar semula pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Itu reaksi calon Gerakan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Pontian Johor hari ini apabila ditanya mengenai potensi kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Wendy Subramaniam, 38, ditanya sama ada beliau selesa berdepan saingan lima penjuru atau takut berdepan calon politik besar dan berpengalaman daripada parti besar kali ini.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang ketakutan untuk berdepan dengan calon-calon daripada parti politik utama negara.

“Saya tidak takut.. kerana dia (Wee Jack Seng) pun sudah dua penggal berkhidmat di sini sebelum ini, jadi orang lama.

“Apa yang kita perlukan di Malaysia Baharu ialah orang yang baharu dengan idea baharu yang boleh memajukan diri dan masyarakat sejagat.

“Kalau tiap-tiap kali ‘recycle’ (kitar semula) orang lama macam mana. Saya sendiri orang Johor Bahru dan mahu memberi idea dan berkhidmat secara ikhlas untuk masyarakat Tanjung Piai,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ditanya progress kempen beliau setakat ini, Wendy yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gerakan berkata, memasuki hari kedua kempen, waktu tidurnya semakin pendek, kurang 5 jam.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendekati dan mendengar masalah rakyat.

Wendy berkata, 50 peratus daripada pengundi yang didekati setakat ini menyambut baik kehadirannya sebagai calon Gerakan.

“Setakat saya jumpa pengundi hari kedua ini, 50 peratus menyambut baik saya dan Gerakan di PRK ini dan berharap ia meningkat menjelang pada hari mengundi 16 November ini,”  ujarnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.