Calon Barisan Nasional, Datuk Dr.Wee Jack Seng sambil diiringi Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2019.

KAWASAN pilihan raya Parlimen Tanjung Piai mempunyai majoriti pengundi Melayu. Semenjak penubuhannya, ia diberi kepada calon MCA oleh UMNO untuk bertanding atas
tiket BN. Dengan undi pengundi majoriti Melayu, calon MCA menang sebanyak tiga kali.

Dalam PRU 14 calon MCA kalah. Itu disebabkan oleh pengundi Cina telah bersepadu menyokong DAP dan pengundi Melayu dari UMNO yang “memberontak” kerana mereka mahukan calon UMNO bertanding di situ. Perlu diingati bahawa kawasan itu diberi kepada MCA sebagai kawasan selamat untuk menang kerana MCA tidak mampu menang di kawasan majoriti Cina.

Apa jadi selepas PRU 14? Kerana UMNO sudah tidak berguna lagi, maka pemimpin-pemimpin MCA pun menjauhkan diri daripada UMNO, mencemuhnya, menghinanya, mengutuknya,  memperlekehnya dan menuntut BN dibubar. Peliknya, MCA tidak bertindak keluar dari BN.

Tetapi, apabila tiga PRK berlalu dengan kemenangan calon UMNO, sikap MCA terhadap UMNO mula berubah. Ia datang meleset untuk berbaik semula. Apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai, MCA terus menuntut ia diberi kepada MCA
untuk bertanding atas alasan itu kubu kuatnya dan kawasan tradisinya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan berkata bahawa ia adalah kubu kuat MCA.(The Star Online 21 September 2019). Media massa pro-Cina turut memain peranan.

Mereka mengatakan bahawa muafakat UMNO-Pas adalah rasis. Jika UMNO meletakkan calonnya di Tanjung Piai, maka ia membuktikan bahawa muafakat itu memang rasis. Untuk membuktikan ia tidak rasis dan muafakat itu bukan hanya untuk kepentingan orang Melayu/Islam sahaja, UMNO hendaklah membenarkan calon MCA bertanding. Itu adalah perang psikologi mereka.

Sementara itu cawangan-cawangan UMNO di Tanjung Piai mendesak supaya calon UMNO diletak si situ. Tiba masa keputusan dibuat, BN meletak calon MCA di situ.

Sehari selepas perisytiharan itu dibuat, Setiausaha Agung MCA mengeluarkan kenyataan bahawa MCA akan mencelah dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, di mana seorang peguam Melayu memfail permohonan untuk mendapat penghakiman sama ada sekolah-sekolah vernacular (Cina dan Tamil) sah atau tidak mengikut Perlembagaan. Tujuan MCA itu ialah untuk menghujahkan bahawa ia sah di sisi Pelembagaan dan mempertahankan kewujudan sekolah-sekolah Cina.

Tindakan itu langsung tidak sensitif terhadap perasaan UMNO dan Pas. Soalnya, bagaimana UMNO dan Pas akan berkempen menyokong calon MCA sedangkan MCA hendak membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa ia adalah juara dalam
memperjuangkan kewujudan sekolah Cina dan pengiktirafan sijil UEC. Sebelum itu pun, Presiden MCA telah mencabar DAP mengapa diam apabila Kongres Maruah Melayu mengeluar resolusi supaya sekolah vernacular dimansuhkan secara berperingkat-peringkat.

Adakah UMNO dan Pas akan menyokong MCA dalam hal itu, atau adakah UMNO dan Pas akan menyokong calon MCA tetapi tidak menyokong pendirian MCA dalam hal itu? Esoknya (1 November 2019) Malay Mail, memetik Berita Harian melaporkan satu sumber dari UMNO yang mendakwa bahawa MCA mengancam untuk keluar daripada gabungan BN jika UMNO tidak membenarkan calon MCA bertanding di PRK Tanjung Piai.

“Sumber itu berkata tekanan itu datang daripada jawatankuasa eksekutif pusat MCA.

“Mereka mahu keluar jika UMNO berkeras untuk bertanding. MCA yakin ia boleh menang berdasarkan analisa yang dijalankan.

“Selepas mendengar hujah-hujah, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk memberi laluan kepada MCA,’ katanya.” (Terjemahan saya).

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dakwaan itu, tetapi Presiden UMNO tidak berkata apa-apa. Jika dakwaan itu benar dan jika itulah antara sebab mengapa UMNO bersetuju calon MCA bertanding di PRK itu, maka UMNO sudah menjual maruahnya kepada MCA dan maruah orang Melayu kepada orang Cina. Ertinya, bila UMNO tidak berguna kepada MCA, UMNO boleh dicemuh, dihina, dikutuk dan diperlekeh; tetapi, apabila difikirkan ia berguna semula, ia boleh dipujuk, dijanji dan diancam dan UMNO akan mengalah dan memberi apa yang dituntut oleh MCA.

Kita tidak dapat mengelak daripada realiti bahawa UMNO mewakili orang Melayu dan MCA mewakili orang Cina. Ini bukan soal calon MCA itu akan menang atau kalah. Ini soal maruah UMNO dan maruah orang Melayu. Jika dakwaan itu tidak benar,

DS Zahid hendaklah segera membuat kenyataan menafikannya, dan pemimpin-pemimpin UMNO yang berada di dalam mesyuarat tersebut juga hendaklah menyatakan apa yang sebenarnya berlaku. Mereka mewakili orang Melayu dan UMNO menghendaki undi orang Melayu. Orang Melayu berhak tahu apa yang berlaku.Tetapi, jika dakwaan itu benar, DS Zahid telah mengkompromikan maruah dan memalukan UMNO dan orang Melayu dan beliau eloklah berundur.

Pada 31 Oktober 2019, Astro Awani melaporkan DS Zahid “menjelaskan persetujuan untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon adalah berdasarkan semangat kemuafakatan dalam kalangan parti komponen BN.”

Kenyataan itu tidak cukup untuk menafikan dakwaan berkenaan. Di mana adanya semangat muafakat jika MCA bersikap demikian?
Ada satu perkara lagi yang kita tidak tahu dan sama ada ia menjadi pertimbangan UMNO atau tidak dalam membuat keputusan itu, iaitu, ada tidak MCA menjanjikan bantuan
kewangan kepada UMNO, memandangkan UMNO sedang menghadapi masalah kewangan.

Ini juga melibatkan maruah UMNO dan orang Melayu: sama ada mereka boleh dibeli. Tidak kira calon MCA itu akan menang atau tidak, dengan bersetuju memberi laluan kepada MCA itu, soalan-soalan ini berbangkit dan perlu dijawab, khususnys oleh Presiden UMNO:

1. Adakah UMNO bersetuju bahawa Tanjung Piai adalah kubu kuat dan kawasan tradisi MCA, bukan ihsan UMNO kepada MCA?

2. Adakah UMNO menerima hujah media pro-Cina bahawa muafakat UMNO-Pas adalah rasis dan untuk membuktikan ia tidak rasis dan bukan untuk kepentingan orang Melayu/Islam sahaja, calon MCA hendaklah dibenarkan bertanding atas tiket BN?

3. Mengapa pucuk pimpinan UMNO langsung tidak menghiraukan pandangan UMNO tempatan dan orang Melayu amnya?

4. Adakah MCA mengugut untuk keluar dari BN jika UMNO tidak bersetuju membenarkan calon MCA bertanding atas tiket BN?

5. Adakah MCA menjanjikan bantuan kewangan kepada UMNO? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast