Azhari Shaari
Azhari Shaari

KUALA LUMPUR – Memandangkan Barisan Nasional (BN) bertanding sebagai calon ‘underdog’ pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai 16 November ini, wajar bagi seluruh jentera mengambil kesempatan kempen ini untuk menggegarkan parti lawan.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, semua jentera parti sama ada dari BN mahupun Gagasan Sejahtera (GS) harus menumpukan bagaimana strategi hendak menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

“Fokus kita adalah untuk menewaskan calon daripada PH mahupun lima calon lain. Meratap, mengecam dan mengaruk dengan pilihan muktamad pucuk pimpinan hanya akan melemahkan parti untuk menghadapi perjuangan di hari mendatang,” katanya dalam coretan Sekapur Sireh Seulas Pinang yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan berlaku pertandingan enam penjuru PRK Tanjung Piai, melibatkan calon PH, BN, Parti Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Mereka adalah Karmaine dari PH), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN); Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar masing-masing Bebas.

Menurut Azhari, beliau membuat peringatan itu kerana isu pemilihan calon BN bagi pilihan raya kecil itu masih hangat dibincangkan menerusi media sosial.

Sepatutnya, kata beliau, selepas pemilihan calon dibuat, semua pihak sewajarnya menghadap kempen pilihan raya sahaja.

“Biarlah puak parti lawan dan penyokongnya terus berkata-kata. Jentera BN harus bekerja untuk memastikan Jeck Seng menang.

“Lagi pun, calon kita bukan orang asing di Tanjung Piai. Beliau adalah bekas wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini.

“Tugas kita adalah menyanggah persepsi negatif terhadap BN yang akan dibuat oleh semua calon lain,” katanya. – MalaysiaGazette